Semasa zaman OnePlus masih cuba membina nama, OnePlus hadir dengan aksesori kuasa tersendiri iaitu sejenis power bank. Apa yang menarik adalah, power bank OnePlus pada ketika itu menggunakan kemasan yang sama dengan OnePlus One – sama ada Sandstone atau Silky White. Kemudian, OnePlus tidak lagi hadir dengan power bank dan hanya menjual kabel dan pengecas mereka sahaja.
Dengan permulaan baharu OnePlus, mengikut jejak langkah seperti pesaing – mereka mula hadir dengan peranti kelas pertengahan, aksesori audio mampu milik dan banyak lagi. Terkini, power bank generasi kedua OnePlus telah tertiris. Ia dikatakan adalah OnePlus Power Bank 10,000mAh. Sejak Februari lagi kita sudah kedengaran yang OnePlus akan hadir dengan produk ini. Kini ia semakin hampir.
Aksesori kuasa ini dilaporkan hadir dengan kuasa pengecasan 18W, mempunyai 3 port sambungan iaitu 2x USB-A (output) dan 1x USB-C (input/output). Ia dikatakan dibina dari bahan yang ringan. Berdasarkan imej tertiris yang memperlihatkan warna hitam dan hijau ini, bahan binaannya mungkin adalah plastik.
Sekali imbas, ia kelihatan mirip dengan Oppo Power Bank 2 yang dilancarkan pada Ogos lalu. Menurut peniris terkenal Ishan Agarwal, harga power bank ini adalah sekitar ₹1,200 – ₹1,400 (~RM68 – RM79). Tiada apa yang unik dengan aksesori kuasa ini, selain sebagai sejenis power bank mampu milik sahaja.