Apple iPhone 12 Dan 12 Mini Dilancarkan Dengan Skrin OLED, Dwi-Kamera Dan Harga Bermula Dari RM3399

Apple iPhone 12 Dan 12 Mini Dilancarkan Dengan Skrin OLED, Dwi-Kamera Dan Harga Bermula Dari RM3399

Diterbitkan pada Okt 14, 2020 oleh .

Di acara Apple Event pagi ini Apple melancarkan empat model iPhone baharu seperti yang diramalkan sebelum ini. Tetapi kita mulakan dahulu dengan Apple iPhone 12 da 12 Mini yang merupakan peranti dengan spesifikasi paling “rendah” diantara empat model pagi ini.

Apple iPhone 12 ialah model skrin sebesar 6.1″ dari keluarga OLED dengan resolusi Super Retina XDR, dijana cip Apple A14 Bionic, dwi-kamera 12-megapixel dan kamera hadapan juga 12 -megapixel. Dwi kamera utama menggunakan sensor sudut lebar da ultra sudut lebar. Dari segi rekaan pula peranti kini mempunyai panel sisi logam aluminium yang rata menyerupai yang ditemui pada iPad Pro.

Kaca hadapan pula hadir dengan pelindung seramik yang menurut Apple adalah lebih tahan hentakan. Pada waktu yang sama skrin peranti kini bukan sahaja menyokong HDR10 tetapi juga HLG dan Dolby Vision. Pada model tahun ini, sistem imbasan wajah Face ID dikekalkan tetapi takuk pada skrin kini telah dikecilkan sedikit.

Apple iPhone 12 Mini ialah model skrin sebesar 5.4″ dari keluarga OLED dengan resolusi Super Retina XDR dengan semua spesifikasi yang sama seperti iPhone 12. Menurut Apple, iPhone 12 Mini ialah telefon pintar 5G paling kecil di dunia pada waktu ini.

Kedua-dua model menyokong pengecasan berwayar 20W dan pengecasan nirwayar 15W menerusi sambungan MagSafe. Pengecas bermagnet ini ialah teknologi terbaru dari Apple yang memastikan orientasi pengecasa adalah tepat sepanjang masa.

Maka tahun ini tiada lagi model iPhone dengan skrin LCD, fon telinga dan pengecas terbina. Kesemua peranti hanya akan ditawarkan dengan sebuah kabel USB-C ke Lightning dengan setiap pembelian. Pengguna perlu membeli pengecas secara berasingan.

Apple iPhone 12 ditawarkan pada harga bermula dari RM 3899 untuk storan sebesar 64GB dan meningkat ke RM4599 untuk model dengan 256GB. Sementara itu Apple iPhone 12 Mini pula dijual pada harga bermula RM3399 untuk model 64GB dan RM4099 untuk model 256GB. Warna yang ditawarkan pula ialah putih, hitam, biru, hijau dan merah.



TIPS & ULASAN