Apple Melancarkan HomePod Mini – Speaker Pintar Bersaiz Lebih Kecil

Apple Melancarkan HomePod Mini – Speaker Pintar Bersaiz Lebih Kecil

Diterbitkan pada Okt 14, 2020 oleh .

Tiga tahun selepas Apple HomePod dilancarkan, pagi ini Apple akhirnya melancarkan pula speaker pintar pertama mereka dalam saiz yang lebih kecil iaitu HomePod Mini dengan tubuh berbentuk bulat setinggi 3.3 inci serta panel sesentuh pada bahagian atas.

Ia masih menggunakan bahan binaan fabrik yang sama, serta mengekalkan elemen rekaan HomePod yang asal. Untuk audio, ia menggunakan satu pemacu utama, dua radiator pasif bagi menawarkan audio 360 darjah. Lebih menarik, Apple turut menyertakan cip Apple S5, untuk menjadi lebih pintar, tambatan kepada dua HomePod Mini untuk tetapan stereo, serta mempunyai cip Apple U1 untuk fungsi Handoff.

Seperti yang dijangka, HomePod Mini masih tidak menyokong integrasi Spotify. Ia hanya menyokong iHeartRadio, Pandora dan Amazon Music. Sudah tentu integrasi yang lalai adalah Apple Music. Seperti pesaing, Google Home (Nest Hub, dll), ia mempunyai fungsi siaran audio dari bilik ke bilik melalui fungsi Intercom. Fungsi ini jika digunakan turut akan diberitahu pada iPad, iPhone dan Apple Watch.

Apple HomePod Mini akan dijual pada harga $99 (~RM410) sebuah dalam warna putih dan kelabu bermula November hadapan. Seperti HomePod asal, ia besar kemungkinan tidak ditawarkan untuk pasaran Malaysia.



TIPS & ULASAN