Cari @ Amanz

Apple telah melancarkan siri iPhone 12 malam tadi, yang mana adalah antara iPhone terbaik yang pernah kami lihat. Kamera yang lebih, rekaan menarik, serta padat dengan ciri dan fungsi menarik perhatian. Tetapi seperti simbol Ying dan Yang, dunia ini seimbang semua perkara akan ada baik dan buruknya serta tiada ciptaan manusia yang 100% sempurna dan dapat memuaskan hati semua orang.

Kami menemui beberapa keburukan pada siri iPhone 12 ini. Pada hemat kami, Apple sebagai sebuah syarikat teknologi gergasi tidak patut mempunyai keburukan seperti ini.


1. Masih Menawarkan Storan 64GB

iPhone 12 Pro dan 12 Pro Max menarik sekali, dengan variasi yang paling rendah bermula dengan storan 128GB. Ia adalah keputusan bijak. Tetapi iPhone 12 dan iPhone 12 Mini, masih ada pilihan 64GB. Siapa sahaja yang akan memiliki saiz storan sekecil ini? Masuk beberapa aplikasi media sosial, satu-dua permua dan beberapa video dan gambar sahaja sudah penuh. Google Pixel yang mengikut jejak langkah seakan Apple juga sudha tidak menawarkan storan 64GB sejak Pixel 4a lagi.

2. Masih Tiada USB-C

Sudah tahun 2020, USB-C sepatutnya menjadi perkara biasa untuk telefon pintar. Port sambungan lightning adalah seakan microUSB, ia sudah kuno dan mempunyai pengehadan untuk pengecasan yang lebih pantas. Banyak peranti premium Android juga sudah beralih ke kabel USB-C ke USB-C. Jika iPad Air, iPad Pro dan MacBook semua boleh menggunakan USB-C, kenapa tidak iPhone? Jika benar mereka ingin selamatkan alam sekitar dari sampah elektronik, kenapa masih ada kabel lightning yang kuno ini? Selaraskan sahaja semua USB-C ada langkah yang lebih baik.

3. Sistem Pengecasan “Pantas” Yang Perlahan

Apple masih berdegil, seperti Google. Pengecasan “pantas” mereka adalah tidak pantas dan terhad kepada 20W sahaja. Hanya 2W peningkatan dari iPhone generai lama. Walaupun mereka menggunakan sistem Power Delivery yang mana adalah sistem yang universal dan stabil, peranti Android boleh sahaja menyokong sehingga 100W, 65W, 45W, 30W atau juga 25W paling kurang. Xiaomi walaupun menyokong sistem pengecasan melebihi 100W, ia masih lagi berasaskan Power Delivery.

4. Pengecas Tidak Disediakan

Sudahlah masih kekal dengan port sambungan Lightning, pengecas pula tidak disediakan. Hanya gimik semata-mata jika mereka berhasrat ingin mengurangkan masalah sampah elektronik. Kabel yang disertakan dalam kotak pembelian iPhone adalah USB-C ke Lightning dan berapa peratus sahaja yang ada pengecas ini? Pasti ramai masih memiliki pengecas kuno 5W Apple USB-A berbanding pengecas USB-C. Harga jualan pula adalah RM99 untuk 20W, yang mana adalah harga tidak masuk akal.

5. Masih Ada Variasi Dwi-Lensa

Peranti kelas pertengahan Android atau pembunuh peranti mercu Android, semuanya sudah ada tri-lensa atau kuad-lensa sebagai spesifikasi minima. Tetapi Apple masih ingin menggunakan dwi-lensa pada iPhone 12 dan iPhone 12 Mini. Tahun 2020, tahun di mana hanya Apple dan Google sahaja masih ada peranti dwi-lensa. Jika ingin guna dwi-lensa pun, sekurang-kurangnya sediakanlah sensor LiDAR pada dua peranti ini. Barulah pengguna dapat menikmati kehebatan Apple yang sebenar.

6. Tidak Semua Lensa Sokong Mod Malam

Bukan itu sahaja, mod malam pada kamera iPhone 12 juga masih lagi terhad. Ia hanya menyokong pada lensa utama dan sudut ultra-lebar sahaja. Ini menjadikan iPhone 12 dan iPhone 12 Mini seakan lebih berbaloi, Versi Pro yang ada lensa telefoto dan sokongan sensor LiDAR juga tidak boleh membantu mod malam pada mod zum. Ia membuatkan pengguna persoalkan kenapa beli iPhone 12 Pro kalau boleh beli iPhone 12 biasa dan memanfaatkan semua ciri dan fungsi tersedia.

7. Masih Ada Takuk Besar Dan Lebar

Bertahun lamanya, Apple masih kekal dengan rekaan skrin dengan takuk yang besar dan tebal. Bezel peranti boleh nipis pun kerana ia adalah rekaat skrin yang rata. Peranti Android sudah ada rekaan skrin berlubang, kamera bawah skrin, kamera pop naik yang semuanya memberikan pengalaman skrin yang lebih meluas dan imersif. Tetapi tahun 2020 rekaan takuk besar ini adalah ketinggalan.

8. Tiada Skrin Kadar Segar Semula Tinggi

iPhone sedia dikenali dengan peranti yang lancar dan pantas. Ini kerana skrinnya mempunyai kadar sentuhan yang tinggi. Siri iPhone 12 kekal dengan skrin 60Hz dan tidak menyokong kadar segar semula yang tinggi. Memang benar, 60Hz pada iPhone sudah memadai. Tetapi cip A14 dalam iPhone 12 ini adalah berkuasa. Bayangkan jika ada skrin kadar segar semula 90Hz atau 120Hz. Sekurang-kurangnya tawarkan pada variasi Pro. Apple dengan sifat kedekut berpisah tiada.

9. Sensor LiDAR Gimik Seakan Lensa Potret Peranti Android

Bukan pengeluar peranti Android sahaja terkenal dengan gimik kamera mengarut. Apple juga pada iPhone 12 ini agak lucu. Menyertakan sensor LiDAR pada iPhone 12 dan iPhone 12 Pro untuk kemampuan kamera yang lebih baik adalah tidak masuk akal. Untuk AR iaitu realiti terimbuh, itu boleh diterima. Tetapi untuk rakaman video dan foto? Google dan banyak peranti Android lain boleh sahaja mengoptimasikan dengan perisian. Seperti lensa potret/makro pada Android, sensor LiDAR ini adalah satu gimik sahaja.

10. Harga Masih Bermula Pada RM3000 Ke Atas

Harga iPhone sentiasa berada dalam kategori harga premium. Pengurangan harga mula dilihat pada tahun lepas melalui siri iPhone 11. Tahun ini dengan iPhone 12 Mini, harganya bermula dengan RM3,399 pada storan 64GB. Ini adalah harga yang mahal untuk sebuah peranti “asas”. Jika RM3,399 128GB mungkin masuk akal. Tetapi 64GB adalah melampau. Harga sekurang-kurangnya RM2,999 mungkin masih boleh diterima.


Jadi apakah pendapat anda mengenai kekurangan yang ada pada siri iPhone 12 ini? Adakah anda bersetuju? Walaupun kami tertarik dengan apa yang Apple tawarkan ini, kekurangan yang masih ada ini buat kami rasa kecewa dan tidak pasti ingin menjadikan iPhone 12 sebagai peranti harian. Adakah anda akan beli iPhone 12 ini?

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd