Pada bulan lepas, NVIDIA telah melancarkan siri kad grafik terbaru mereka, NVIDIA GeForce RTX 3000 yang menjanjikan pengalaman gaming premium yang cukup berkuasa.
Cip-cip grafik ini, yang diberikan kod nama Ampere dibangunkan oleh proses 8nm Samsung, walaupun cip awal Ampere, GA100 dibangunkan oleh TSMC. NVIDIA kini dilaporkan akan memindahkan pengilangan cip-cip pemprosesan grafik kembali ke TSMC.
Laporan DigiTimes mengatakan bahawa salah satu sebab untuk pemindahan semula ini ialah kerana TSMC sudah mempunyai ruang tambahan pada nod 7nm mereka kerana beberapa klien mereka sudahpun mula berpindah ke proses 5nm seperti Apple.
Satu lagi sebab ialah NVIDIA kini ingin meningkatkan kapasiti pembangunan cip-cip grafik tersebut untuk memenuhi permintaan pengguna yang rata-rata masih tidak dapat membeli siri kad grafik tersebut.
Buat masa ini ia masih tidak diketahui lagi jika kad-kad grafik yang bakal dikilangkan oleh TSMC akan mempunyai prestasi lebih baik berbanding Samsung, tetapi pertukaran pengilangan ini akan mula berlaku pada 2021 kelak.