OnePlus 8T Kini Rasmi – Snapdragon 865, Skrin Rata 120Hz Dan Warp Charge 65W

OnePlus 8T Kini Rasmi – Snapdragon 865, Skrin Rata 120Hz Dan Warp Charge 65W

Diterbitkan pada Okt 14, 2020 oleh .

Seperti biasa, setiap tahun OnePlus akan melancarkan dua model peranti mercu. Satu yang biasa dan satu versi T. Sedikit berbeza tahun ini adalah, OnePlus tidak menggunakan cip pemprosesan yang lebih baru – sebaliknya menggunakan cip yang sama pada peranti mercu mereka yang sebelum ini. Hari ini, OnePlus 8T telah dilancarkan secara rasmi.

Peranti ini menggunakan skrin Fluid AMOLED jenis rata bersaiz 6.55-inci dengan resolusi terhad kepada FHD+ sahaja. Ia menyokong kadar segar semula 120Hz, kecerahan 1000 nits dan mempunyai warna yang jitu. Perkara yang mengecewakan adalah, ia kekal dengan cip pemprosesan Snapdragon 865 dan bukannya 865+. Pilihan memori pula adalah sehingga 12GB RAM dengan storan dalaman sehingga 256GB. Peranti ini turut mempunyai sistem penyejukan yang lebih baik.

Untuk kamera ia menggunakan tetapan kuad-kamera 48MP (utama) + 16MP (sudut ultra lebar) + 5MP (makro) + 2MP (monokrom) dan juga kamera swafoto 16MP. Bateri pula adalah sebesar 4,500mAh dengan sokongan pengecasan pantas Warp Charge 65W yang boleh mengecas dari 0% – 100% dalam masa 39 minit sahaja. Kabel pengecasan pula adalah jenis C-C.

Peranti menggunakan rekaan yang sedikit berbeza. Selain pada skrin, modul kamera juga lebih dekat dengan trend terkini – iaitu modul segi empat. Warna baru yang diperkenalkan masih lagi dalam kategori hijau, iaitu Aquamarine Green dan Lunar Silver. Peranti OnePlus 8 Pro masih dikira sebagai peranti premium dan utama OnePlus tahun ini. OnePlus 8T adalah tawaran yang lebih seimbang antara OnePlus 8 dan OnePlus 8 Pro. Fungsi kamera juga banyak yang diperkenalkan dari perisian, seperti mod malam dan mod potret dalam video.

Peranti ini hadir dengan Oxygen OS 11 berasaskan Android 11. Ia mempunyai sokongan AOD, Zen Mode baharu, AOD dengan kerjasama Snapchat dan Bitmoji. 8/128 GB dijual pada harga 599 Euro (~RM2,925) dan 12/256 GB pada harga $749 (~RM3,109). Peranti ini turut akan memasuki pasaran Malaysia tidak lama lagi, sama-sama kita nantikan pengumuman harga dan jualan.



TIPS & ULASAN