Rekaan CPU Intel Alder Lake Tertiris – Mungkin Akan Dilancarkan Pada Penghujung 2021

Rekaan CPU Intel Alder Lake Tertiris – Mungkin Akan Dilancarkan Pada Penghujung 2021

Diterbitkan pada Okt 15, 2020 oleh .

Pada minggu lepas kami telah melaporkan bahawa Intel akan melancarkan siri CPU Intel generasi ke-11 mereka, Comet Lake-S pada awal tahun hadapan. Siri CPU tersebut akan menandakan kali terakhir mereka akan menggunakan pembinaan proses 14nm dalam siri pelancaran besar.

Terkini, rekaan siri CPU mereka yang seterusnya, iaitu Alder Lake telah tertiris ke arena internet. Ini adalah siri CPU untuk desktop pertama mereka yang akan dibangunkan menggunakan proses 10nm SuperFin.

Tidak banyak butiran yang diketahui mengenai siri CPU tersebut buat masa ini, tetapi apa yang pasti ia menggunakan soket baru, iaitu LGA1700 dan mempunyai saiz yang lebih panjang berbanding dengan CPU Comet Lake yang akan diperkenalkan kelak.

Ini bermakna bahawa apabila ia dilancarkan kelak, pengguna yang ingin membeli CPU ini pastinya perlu membeli papan induk baru kerana ia tidak akan muat didalam mana-mana soket CPU sedia ada.

Alder Lake juga disahkan akan menyokong memori DDR5, menjadikannya setakat ini satu-satunya siri CPU yang menyokong format memori baru itu. Terdapat juga desas-desus yang mengatakan bahawa CPU ini akan menyokong teknologi penghantaran data PCIe 5.0, tetapi ia masih belum disahkan lagi setakat ini.

Ia dijangkakan bahawa Intel akan melancarkan siri CPU Alder Lake ini ke pasaran dunia pada penghujung tahun 2021 kelak.



TIPS & ULASAN