8 Perkara Mengecewakan Pada OnePlus 8T

8 Perkara Mengecewakan Pada OnePlus 8T

Diterbitkan pada Okt 15, 2020 oleh .

OnePlus 8T telah pun dilancarkan malam tadi. Ia adalah peranti mercu ketiga selepas OnePlus 8 dan OnePlus 8 Pro. Berbeza dengan tahun ini, ia tiada versi 8T Pro sebaliknya fokus kepada satu sahaja 8T. Peranti ini dilihat lebih kepada pilihan seimbang, jika pengguna ingin sesuatu yang lebih dari OnePlus 8 tetapi tidak ingin berbelanja lebih pada OnePlus 8 Pro.

Jujur kami katakan, semasa menonton acara pelancaran malam tadi – ia tidak rasa menarik dan tiada hype seperti peranti OnePlus sebelum ini. Oleh yang demikian kami mencari, di manakah silap OnePlus pada peranti terbaru mereka? Ini adalah perkara-perkara yang mengecewakan pada OnePlus 8T.


1. Masih Menggunakan Cip Snapdragon 865

Jika kita lihat peranti-peranti siri T OnePlus, biasanya ia adalah versi kemaskini dan dinaiktaraf. Contoh OnePlus 7 Pro dengan Snapdragon 855, kemudian OnePlus 7T Pro dengan Snapdragon 855+. Tetapi pada OnePlus 8T, OnePlus mengekalkan cip Snapdragon 865 yang sama dengan OnePlus 8 dan 8 Pro. Ia tiada keistimewaan dari segi prestasi dan akan rasa sama sahaja dengan mana-mana peranti dengan cip yang sama.

2. Kamera 48MP Dari OnePlus 7T

Sejak OnePlus 7 lagi OnePlus telah menggunakan lensa 48MP. Hanya pada OnePlus 7T ia mula mempunyai sedikit penambahbaikan yang mana lensa 48MPnya adalah sedikit lebih baik. Tetapi lensa yang sama ini dikitar semula kepada OnePlus 8T. Sudah banyak model peranti OnePlus menggunakan lensa ini, sedangkan pesaing semua sibuk dengan lensa 64MP atau 108MP. Kualiti kamera pula kerap dioptimasikan dari segi perisian sahaja, yang mana adalah biasa-biasa sahaja.

3. Tiada Lensa Telefoto

Pada OnePlus 8T, tiada lagi lensa telefoto. Pada hemat kami, sertakan sahaja sensor autofokus laser + lensa telefoto – ia sudah mampu mengambil imej makro. Tanpa lensa ini, kemampuan zum bergantung kepada digital dan ini akan mengorbankan kualiti imej. Tahun 2020, sepatutnya lensa utama + lensa sudut ultra lebar + lensa telefoto adalah tetapan asas. Lensa-lensa lain tidak diperlukan pun.

4. Mengekalkan Dua Lensa Gimik + Flash Gimik

Tidak pasti kenapa, tetapi OnePlus bercadang menggunakan lensa tambahan makro dan monokrom sahaja. Dua lensa gimik yang seakan tiada fungsinya. Bukankah mod monokrom boleh sahaja menggunakan perisian seperti penuras? Kemudian di bahagian belakang ada dua lampu LED flash yang mana hanya satu sahaja yang menyala. Penggunaan lensa seperti ini mungkin untuk melengkapkan sahaja modul kamera peranti agar tidak kelihatan kosong.

5. Oxygen OS 11 Mirip One UI

Memang benar, Oxygen OS adalah antara sistem operasi yang dekat dengan Android asli. Ia ringan, tidak berat dengan tema dan aplikasi terbina. Untuk OnePlus 8T, ia menjalankan Oxygen OS 11 berasaskan Android 11. Elemen Android asli itu masih ada. Tetapi beberapa aplikasi dan sistem, telah dioptimasikan untuk penggunaan satu tangan yang mirip dengan One UI dari Samsung. OnePlus, sudah hilang nilai keaslian.

6. Rekaan Yang Hilang Identiti

Rekaan peranti pula kerap dikitar semula dalam tempoh yang singkat. Rekaan OnePlus 8T ini masih mirip dengan OnePlus 7 Pro dan penggunaan modul kamera menjadikan peranti ini kelihatan seperti peranti kelas pertengahan Samsung dan Oppo dalam siri A. Ia tidak mempunyai nilai rekaan seakan peranti mercu sebenar. Jika ingin kitar semula rekaan, sekurang-kurangnya gunakan rekaan seperti OnePlus 5, OnePlus 3 atau juga OnePlus One, tetapi dengan tema moden.

7. Tiada Perlindungan IP68

OnePlus 8 Pro sudah ada perlindungan IP68. Ia adalah berita baik apabila OnePlus mengumumkan perkara tersebut. Tetapi pada OnePlus 8T ini, OnePlus kembali mengorbankan banyak perkara seperti tidak lagi menyertakan ciri ini. Dalam 5 tahun jenama OnePlus ini wujud, hanya satu kali sahaja kita lihat sokongan IP68 dan kemudian ia tidak diteruskan.

8. Tiada Pengecasan Nirwayar

Nasib sokongan IP68 adalah sama dengan pengecasan nirwayar. Sejak OnePlus 6, OnePlus telah menggunakan panel belakang yang diperbuat daripada kaca. Sayang sekali hanya pada OnePlus 8 Pro sahaja, fungsi pengecasan nirwayar diperkenalkan. Dua tahun penantian. Tetapi pada OnePlus 8 Pro, siapa sangka OnePlus membuang kembali fungsi tersebut. Secara tidak langsung menjadikan OnePlus 8T tiada wow factor.


Jika kita lihat dalam pasaran, OnePlus 8T ini cuba bersaing dengan peranti seperti Galaxy S20 FE. Tetapi S20 FE serba lengkap dengan ciri dan fungsi menarik, kecuali pada bahan binaan. OnePlus pula, terlampau banyak pengorbanan. Panel belakang kaca, tetapi tidak begitu sedap dipegang dan dapat rasa cubaan menjadikan peranti itu murah.

Kita perlu nantikan harga pasaran Malaysia tidak lama lagi, bagi membuat penilaian sama ada adakah peranti ini baik digunakan ataupun tidak.


TIPS & ULASAN