China merupakan negara dengan jumlah penduduk paling besar di dunia, dan menguasai satu pasaran ini memastikan bahawa aplikasi atau perkhidmatan anda berjaya.
Terkini, sebuah laporan daripada China Netcasting Services Association mengatakan bahawa dalam masa sehari, untuk mengisi masa lapang, seorang rakyat China boleh menonton video-video ringkas untuk 110 minit sehari.
Menurut laporan tersebut, sekitar 818 juta rakyat China mempunyai tabiat menonton ini, dan apabila digabungkan, jumlah tontonan video ringkas ini mencecah 170 ribu tahun setiap hari.
Pemesatan teknologi peranti dan juga internet dan akses kepada kandungan atas-talian yang lebih cepat dan mudah melalui aplikasi seperti Douyin (TikTok di China) dan Kuaisho membolehkan orang ramai menonton video-video ringkas ini dengan mudah.
Ia turut dilaporkan bahawa Douyin mempunyai sekitar 600 juta pengguna harian, manakala Kuaisho mempunyai separuh daripada itu, dan ini tidak termasuk perkhidmatan penstriman video ringkas yang lain di pasaran tersebut.
Salah satu daripada sebab yang diberikan untuk fenomena ini ialah wabak COVID-19 yang memaksa orang ramai untuk duduk di rumah dan menonton dan mencipta kandungan pada platform-platform tersebut.
Platform-platform tersebut juga merupakan satu cara untuk jenama-jenama pengguna mempromosikan barang-barangan mereka, dimana pengguna boleh terus ke kedai atas talian untuk membeli produk-produk tersebut.