OnePlus 8T baru sahaja dilancarkan baru-baru ini. Ia adalah peranti mercu ketiga OnePlus tahun ini selepas OnePlus 8 dan OnePlus 8 Pro. Peranti ini lebih mirip dengan OnePlus 8, tetapi sedikit lebih hebat. Tidak banyak perubahan ketara pada peranti ini kali ini, ia berbeza pada tahun lepas dengan OnePlus 7T. Perubahan ketara hanyalah pada pengecasan dan perisian sahaja.
Kami berpeluang menggunakan peranti ini untuk ujian awal dan mempunyai pandangan sama ada peranti ini berbaloi atau pun tidak serta untuk siapakah peranti ini. Dalam penggunaan singkat tadi, kami berpeluang menguji sistem pengecasan pantas, sedikit pada kamera dan juga perisian. Ini adalah artikel pandang pertama kami untuk OnePlus 8T.
Spesifikasi Dan Rekaan
OnePlus 8T | |
---|---|
Skrin | 6.55″ Fluid AMOLED, FHD+ 120Hz, HDR10+ |
Pemproses | Qualcomm Snapdragon 865 |
Cip | 1 X 2.84 GHz Kryo Prime 585 3 X 2.42 GHz Kryo Gold 585 4 X 1.8 GHz Kryo Silver 585 |
Cip Grafik | Adreno 650 |
RAM | 8/12 GB LPDDR4X |
Muatan Dalaman | 128/256 GB UFS 3.1 |
Kamera Utama | 48+16+5+2 Megapixel f/1.7 + f/2.2 + f/2.4 + f/2.4 Utama, Ultra Lebar, Makro, Monokrom |
Kamera Swafoto | 16 Megapixel f/2.4 |
Bateri | 4500 mAh Pengecasan berwayar 65W (Warp Charge 45) Pengecasan berwayar 27W (USB-PD) |
SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano/5G |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Tiada |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Pengimbas cap jari optikal |
Harga Jualan | China (~RM2098 – RM2283), Amerika (~RM3,111) |
Sekali imbas, elemen rekaan peranti OnePlus masih dikekalkan. Tetapi apa yang kami lihat adalah, peranti ini seakan menggunakan rekaan peranti kelas pertengahan seperti peranti Oppo atau Samsung siri A. Ia tidak mempunyai rupa seakan sebuah peranti mercu. Di tangan juga terasa seakan OnePlus Nord sahaja, walaupun bahan binaan dilihat premium.
Secara keseluruhan, apa yang anda lihat pada peranti OnePlus sebelum ini itulah yang anda terima. Butang gelongsor notifikasi turut dikekalkan. Paling unik dalam rekaan ini adalah, skrin yang digunakan kini jenis rata. Bezel juga dilihat nipis dan hampir sekata. Warna yang berada di tangan kami ini adalah Aquamarine Green yang mana mirip dengan OnePlus 8 sebelum ini tetapi lebih terang.
Pengalaman Penggunaan
Sebaik sahaja kami menghidupkan peranti ini, kepantasan itu sudah pun terasa. 120Hz telah diaktifkan terus secara lalai. Menatal di skrin, pergi ke tetapan, skrol di laman web Amanz – semuanya memberikan satu perasaan yang sangat puas. Kami tertarik dengan implementasi 120Hz pada peranti OnePlus seperti mana mereka lakukan dengan 90Hz sebelum ini, seperti itulah 120Hz – cuma lebih hebat.
Warna skrin juga cantik, terang dan cukup menawan apabila kami memainkan video 1080p HDR 60FPS di YouTube. Kami dapat bayangkan yang apabila menggunakan peranti ini untuk menstrim video kelak – pasti akan memuaskan. Kecerahan skrin juga amat terang, yang mana terus memberikan pengalaman yang mengasyikkan.
Perisian yang dijalankan adalah Oxygen OS 11 berasaskan Android 11. Ia masih kelihatan seakan Android asli, tetapi tidak rasa seperti Android asli. Pengguna OnePlus akan kenali sahaja sistem operasi ini, tetapi rekaan ada mirip One UI sedikit pada beberapa tetapan dan aplikasi. Kemudian, penggunaan font dan tulisan lebih mirip dengan Hydrogen OS. Antaramuka jelas sekali lihat yang akan datang OnePlus mungkin akan menggunakan rekaan serba baru yang tidak lagi mirip Android asli.
Bukan itu sahaja, Oxygen OS 11 pada OnePlus 8T ini turut memperkenalkan fungsi Always On Display. Akhirnya mod ini boleh digunakan oleh pengguna OnePlus, selepas bertahun dipohon oleh para peminat. Zen Mode juga diperbaharui. OnePlus 8T mempunyai banyak perubahan dari segi perisian berbanding perkakasan.
Peranti ini rasa lancar, pantas dan puas. Kami tidak uji lagi permua, tetapi skor tanda aras pada AnTuTu dan Geekbench 5 adalah seperti yang anda lihat pada mana-mana peranti mercu Android dengan cip yang sama. AnTuTu mencatat skor, manakala Geekbench 5 pula adalah .
Peranti ini selesa sahaja berada di dalam tangan, tidak terasa licin dan tidak terasa pelik. Walaupun permukaan belakang adalah jenis berkilat, ia tidak begitu jelas menangkap kotoran cap jari. Untuk audio, ia menggunakan pembesar suara stereo dengan sokongan Dolby Atmos.
Pengecasan kini lebih pantas, yang mana dalam masa 39 minit boleh mengecas dari 0-100%. OnePlus 8T ini menggunakan sistem Warp Charge 65, iaitu kuasa 65W. Menariknya, peranti ini turut menyokong pengecasan USB-PD 27W. Ini akan memudahkan lagi pengguna yang banyak berjalan agar tidak perlu membawa banyak pengecas dan kabel. Bateri juga kali ini lebih besar, iaitu 4,500mAh. Harapnya ia mampu bertahan lama.
Kamera
Untuk kamera, OnePlus turut banyak menggunakan pengoptimasian perisian. Contohnya pada video, ia menyokong mod malam dan juga mod potret. Bukan itu sahaja, video juga menyokong mod penstabilan yang baik. Hasil ringkas video kami rakam tadi – lihat cantik dan terang. Malah kami agak terkejut dengan hasil videonya.
Mod gambar seperti 48MP. mod potret swafoto, sudut ultra lebar adalah lebih kurang sama dengan peranti OnePlus. Kami perasan ada sedikit perubahan di bahagian fokus, yang mana lebih pantas dan masa memproses imej pula adalah cukup laju.
Kualiti gambar dilihat baik sahaja, dengan nilai HDR yang cukup baik serta pemeliharaan butiran yang bagus sekali. Tetapi kami memerlukan masa lebih lama lagi untuk menguji dan akan kami rungkai dalam ulasan kelak.
Kesimpulan
Kami dapat rasakan yang peranti ini adalah sebuah peranti yang menarik. Ia mungkin akan bersaing dengan Galaxy S20 FE, dari aspek pengecasan, peirisian dan kamera. Ia lebih kepada pengguna yang inginkan sebuah peranti mercu asas yang serba lengkap. Tetapi kekuatan OnePlus di sini hanyalah skrin, Oxygen OS 11 dan Warp Charge 65W. Samsung ada semuanya, pengecasan nirwayar, IP68, 120Hz, AMOLED, dan banyak lagi.
Mungkin secara teori, untuk permua OnePlus 8T adalah lebih bagus. Tetapi untuk menilaikan dengan baik – kami perlu nantikan harga pasaran tempatan terlebih dahulu. Harga di China adalah bawah RM2300 dan di Amerika pula adalah sekitar RM3100. Harapnya OnePlus Malaysia tidak menjual lebih dari dua harga ini. Jika tidak peranti seperti Mi 10T Pro akan mempunyai nilai keseluruhan yang lebih baik.