Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini telah pun membolehkan anda memperbaharui lesen memandu (CDL) secara atas-talian bermula hari ini. Untuk melakukannya, anda boleh menggunakan perkhidmatan MyEG.

Bagi memulakan proses pembaharuan, anda hanya perlu ke laman MyEG, log masuk dan memilih perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Sebaik sahaja memasuki menu JPJ, pilih “Driving License Renewal (CDL)” atau “Baharui Lesen Memandu (CDL)”.
Seterusnya, anda akan diperlukan mengisi info berkaitan anda, dan memilih tempoh pembaharuan. Anda boleh memilih tempoh antara 1 tahun ke 5 tahun.

Kemudian, pilih bentuk penerimaan lesen berkenaan, sama ada melalui penghantaran atau mengambilnya di pusat e-khidmat.

Sekiranya anda memilih untuk penghantaran, anda akan dikehendaki memasuki alamat, dan akan dikenakan caj penghantaran.

Selesai mengisi semua, anda boleh membuat penghantaran borang permohonan, dan seterusnya ke halaman pembayaran. Dengan langkah ini, anda boleh melakukan pembaharuan terus melalui pelayar web anda tanpa perlu hadir secara fizikal untuk pembaharuan seperti sebelum ini.