Sony Spatial Reality Display Dilancarkan – Skrin 3D Tanpa Kaca Mata Khas

Sony Spatial Reality Display Dilancarkan – Skrin 3D Tanpa Kaca Mata Khas

Diterbitkan pada Okt 16, 2020 oleh .

Paparan Realiti Spasial ialah sebuah paparan yang membolehkan seseorang melihat sebuah objek pada sudut-sudut berlainan bergantung kepada sudut penglihatan mereka.

Sony baru-baru ini telah memperlihatkan produk paparan realiti spasial pertama mereka, iaitu Sony Spatial Reality Display ELF-SR1. Sony menggunakan paparan Eye-Sensing Light Field Display (ELFD) mereka.

Menurut Sony, paparan ELF-SR1 ini bersaiz 15.6 inci dan hadir dengan resolusi UHD 3840×2160 pixel. Dari segi sudut penglihatan pula, Sony mengatakan pengguna boleh melihat objek spasial pada sudut 20 darjah atas paparan, 40 darjah di bahagian bawah paparan, dan 25 darjah ke kiri dan kanan paparan.

Ia digabungkan bersama-sama sensor High Speed Vision yang dapat mengesan pergerakan mata pada kadar sepantas beberapa mili-saat untuk memastikan pengguna sentiasa dapat melihat perubahan dari sudut objek yang diperlihatkan pada paparan tersebut.

Keunikan paparan ELF-SR1 ini ialah membolehkan pengguna untuk melihat objek 3D pada pelbagai sudut tanpa memerlukan peranti realiti maya ataupun realiti terimbuh.

Malah, syarikat pembangun kenderaan seperti Volkswagen telahpun menunjukkan minat dalam teknologi paparan ini, dan bekerjasama dengan Sony untuk menguji keberkesanan paparan ini.

Paparan Sony Spatial Reality Display ELF-SR1 ini boleh dilihat pada kedai atas talian Sony, dan akan tiba di beberapa pasaran terpilih tidak lama lagi pada harga $4999.99 (~RM22,000).



TIPS & ULASAN