Eksplorasi angkasa merupakan salah satu perkara yang kian mendapat perhatian ramai pihak setahun dua kebelakangan ini. NASA sendiri, sebelum ini merancang untuk membuka penempatan dan sebuah pusat di bulan, menjelang 2028 kelak.
Selari dengannya, sejumlah perkara kini sedang dalam pembangunan. Terbaru, NASA telah memberikan kontrak kepada Nokia (Amerika Utara) dalam usaha membangunkan projek komunikasi di bulan.
Untuk makluman, Nokia, Vodafone dan Audi pernah mengumumkan kerjasama untuk membangunkan rangkaian 4G LTE di bulan pada 2018 yang lepas. Walaupun kita tidak mendengar lanjut berkenaan projek berkenaan, tetapi dengan penawaran kontrak dari NASA ini, ia mungkin membantu meneruskan perancangan Nokia sebelum ini.
Dengan adanya sambungan di bulan, ia akan memudahkan lagi komunikasi antara bulan ke bumi dengan lebih pantas, sekaligus memudahkan pelbagai kajian dan sebagainya.
Nokia juga dijangka melakukan kajian lanjutan dalam komunikasi angkasa sekiranya projek ini berjaya.