Carian
Ulasan Huawei Watch GT 2 Pro – Lebih Premium Dengan Ciri Dipertingkatkan
October 22, 2020 Amy Maizuraa

Huawei dilihat terus-menerus mengemas kini barisan peranti boleh pakai mereka dengan sejumlah produk berkualiti. Selepas mencipta kejayaan menerusi kemuncualan Huawei Watch GT, Huawei Watch GT 2 dan Huawei Watch GT 2e. Kita sedia tahu, peranti boleh pakai Huawei kebanyakannya mempunyai jangka hayat bateri yang panjang iaitu mencecah sehingga dua minggu. Itulah antara kekuatan pada produk mereka yang mampu menarik ramai pengguna untuk beralih padanya. Terkini, jenama ini dilihat memperkenalkan sebuah lagi model terbaru iaitu Huawei Watch GT2 Pro.

Hampir sama seperti adik-beradiknya sebelum ini yang mana dilengkapi keupayaan bateri cukup baik. Selain, terdapat juga penambahbaikan ciri praktikal lain yang lebih menarik termasuklah sokongan pengecasan tanpa wayar dan juga perisian lebih lancar. Namun begitu, model terbaru ini hanya hadir dalam satu pilihan saiz sahaja. Tetapi, dilengkapi dua jenis tali tali jam yang berbeza iaitu bahan berasaskan kulit dengan warna coklat. Satu lagi adalah tali jenis Fluoroelastomer yang berwarna hitam. Lebih menariknya lagi, kedua-dua jenis tali ini turut disertakan di dalam kotak pembelian. Jadinya, anda tidak perlu berbelanja lebih untuk tampil bergaya.

Baru-baru, penulis turut perasan terdapat komen di YouTube Amanz yang bertanyakan mengenai ulasan untuk jam tangan pintar ini. Jadi, tanpa melengahkan masa mari kita lihat apakah yang menarik untuk model kali ini? Selain, adakah ia mampu memberi satu tanda aras baru buat Huawei untuk segmen peranti boleh pakai? Paling penting, mampukah Huawei Watch GT2 Pro menawarkan fungsi yang berbaloi kepada pengguna? Teruskan membaca hingga ke hujung artikel ini.

Spesifikasi Ringkas Peranti :

Huawei Watch GT2 Pro
JenisJam Tangan Pintar
Paparan1.39″ AMOLED (454 x 454 piksel)
PemprosesKirin A1 + STL4R9
RAM32 Megabyte
Muatan Dalaman4 Gigabyte
Bateri455mAh – Ketahanan sehingga 14 hari
SIM / TelefoniPanggilan melalui tambatan bluetooth
SensorPengimbas Nadi, Barometer,
Girometer, Accelerometer, Geomagnetic 
NFCTiada
Infra MerahTiada
Tahap Ketahanan5 ATM
Diameter46.7 mm x 46.7 mm x 11.4 mm
WarnaNight Black
Harga JualanRM1,199

Rekaan

Secara sedar ataupun tidak, rekaan yang dibawakan oleh model kali ini hampir sama seperti pendahulunya. Tetapi bukanlah sepenuhnya kerana masih terdapat juga sejumlah penambahbaikan lain yang terdapat padanya. Huawei masih menggunakan rekaan paparan berbentuk bulat pada model terbaru ini. Saiznya di sini berukuran 1.39-inci dengan penggunaa panel jenis AMOLED. Paparannya juga mempunyai resolusi 450 X 450 piksel, selain hadir dengan sokongan sesentuh secara terbina bertujuan untuk melakukan navigasi aplikasi pada muka jam.

Rekaan hadapannya dilihat menggunakan binaan berasaskan bahan titanium yang dipadankan dengan skrin kaca sapphire bagi memberikan ketahanan lebih kuat serta kukuh. Di sinilah terletaknya perubahan ketara pada model terbaru ini. Seterusnya, turut dapat dilihat tiada sebarang sistem bezel berputar yang hadir pada muka jam tangan pintar ini.

Seperti yang penulis katakan di awal perenggan, Huawei Watch GT2 Pro hadir dengan dua jenis pilihan tali jam. Jadi, seandainya anda tidak selesa dengan tali berasaskan kulit yang sedia terpasang. Anda masih boleh menukarnya dengan tali berasaskan bahan silikon yang lebih praktikal. Terutamanya, ketika anda ingin menggunakan jam tangan pintar ini ketika sewaktu berenang mahupun bersukan. Kalau boleh juga, elakkan memilih tali jam tangan berasaskan jenis kulit sekiranya anda seorang yang kuat berpeluh. Ini adalah salah satu tips penting untuk membeli jam tangan terutamanya bagi lelaki.

Seterusnya, bahagian belakang jam tangan pintar ini pula diperbuat daripada bahan berasaskan seramik yang tahan lasak dan lebih kalis calar. Selain, turut menempatkan sensor denyutan nadi padanya dengan sejumlah naik taraf fungsi yang menarik. Turut kelihatan dua butang fizikal berbentuk bulat pada bahagian sisi kanan yang berfungsi sebagai navigasi untuk kembali ke muka jam dan juga kawalan fungsi serta mod kecergasan terbina. Dengan adanya butang fizikal ini, ia dilihat mampu memberi pilihan lain kepada pengguna untuk kawalan aplikasi dan fungsi pada jam tangan pintar ini. Meskipun, boleh dikatakan anda masih perlu bergantung pada skrin sesentuh sepenuhnya untuk pengalaman lebih baik.

Pertama kali penulis menerima jam tangan pintar ini, sejujurnya saiznya terasa agak besar di pergelangan tangan. Mungkin disebabkan saiz seperti ini selalunya lebih sesuai digayakan oleh golongan lelaki. Namun, lama – kelamaan ia langsung tidak terasa sebegitu sama sekali. Sebaliknya, selesa sahaja untuk dipakai di tangan. Meskipun perlu diakui, penulis mengambil sedikit masa untuk membiasakan diri dengannya. Ditambah lagi dengan binaan tubuhnya yang boleh dikategorikan padat dan tidak terlalu berat, menjadikannya lebih bertambah selesa untuk diguna pakai.

Dari segi prestasi, skrin dilihat memberikan pengalaman memuaskan melalui paparan yang terang untuk tontonan yang selesa. Kawalan sesentuhnya juga memuaskan dengan prestasi yang responsif, selain terasa baik-baik sahaja untuk menavigasi antaramuka pada jam tangan pintar ini. Seterusnya, penggunaan di bawah cahaya matahari secara langsung juga tidak memberi sebarang masalah. Sebaliknya, semua paparan berasaskan teks dan nombor boleh dibaca dengan baik.

Antaramuka, Sistem & Penggunaan

Sama seperti pendahulunya, Huawei Watch GT2 Pro turut menjalankan sistem operasi tersendiri, LiteOS. Melaluinya, ia tidak menyokong aplikasi pihak ketiga. Maka disebabkan itulah, ia membolehkan Huawei memaksimumkan jangka hayat bateri yang panjang pada jam tangan pintar ini. Tiada perubahan antaramuka yang drastik dilakukan, ia mudah sahaja untuk difahami dan dipelajari. Dalam pada itu, kesemua elemen juga mudah dibaca walaupun pada skrin yang bersaiz kecil. Selain, pilihan sejumlah aplikasi masih lagi seperti model pendahulu. Melaluinya juga, anda boleh temui sejumlah pilihan muka jam terbina dengan fokus tersendiri yang ditawarkan menerusi aplikasi Huawei Health.

Seterusnya, cip yang digunakan di sini adalah Kirin A1. Ia merupakan pemproses yang sama ditemui pada Huawei Watch GT2 sebelum ini. Seterusnya, ia turut dimuatkan memori sebesar 32MB RAM, selain storan dalaman 4GB terbina. Seterusnya, kalau anda perasan penulis ada mengatakan jam ini boleh digunakan untuk berenang, bukan? Ini adalah kerana ia dilengkapi sokongan ketahanan air 5ATM yang boleh digunakan pada kedalaman sehingga 50 meter. Boleh dikatakan cukup sesuai untuk dibawa berenang, tetapi tidak begitu sesuai untuk digunakan sewaktu menyelam di laut yang dalam.

Dari segi kawalan, menatal skrin ke bawah akan membawa anda ke akses pintas termasuklah sambungan untuk bluetooth, perubahan untuk keterangan skrin, fungsi penjejak telefon pintar (Find My Phone) dan sebagainya. Jam tangan pintar ini turut menyokong sistem Always On Display – bagaimanapun, fungsi ini akan terpadam secara automatik selepas 5 minit. Kemudian, menatal dari bawah ke atas pula membolehkan anda untuk membaca atau melihat pelbagai notifikasi termasuklah WhatsApp, Facebook, Instagram dan banyak lagi.

Untuk pengetahuan semua, jenis senarai aplikasi yang boleh dipaparkan pada notifikasi juga boleh ditetapkan menerusi fungsi tetapan. Tapi sayangnya, ia tidak pula didatangkan dengan sebarang kebolehan untuk membalas notifikasi. Sokongan getaran ketika menerima sebarang notifikasi juga dilihat baik-baik sahaja, sekaligus memudahkan penulis sentiasa peka terhadapnya. Tetapi, seandainya anda tidak menggemari fungsi ini. Tahap getarannya boleh diubah atau ia boleh dinyahaktifkan terus menerusi tetapan.

Dalam pada itu, jam tangan pintar ini turut didatangkan dengan sokongan pembesar suara dan mikrofon. Sekaligus, membolehkan anda menjawab panggilan masuk secara terus menerusi jam pintar ini. Sama seperti pengalaman penulis menggunakan Samsung Galaxy Watch3. Kualiti audio terasa baik dan setiap panggilan yang diterima terasa jelas untuk didengar – dengan syarat untuk penggunaan di kawasan tertutup. Namun begitu, penggunaan secara terbuka pula memberikan pengalaman yang kurang memuaskan kerana penulis terpaksa mendekatkan jam tangan pintar ini ke telinga untuk mendengar dengan lebih jelas serta teliti.

Berbalik semula pada kawalan, menatal ke kiri dan kanan pula membolehkan anda mengakses sejumlah info seperti denyutan nadi semasa dan ketika berehat, tahap stress, maklumat kecergasan harian dan kawalan pemain muzik. Huawei Watch GT2 Pro turut memberi fokus kepada ciri kecergasan dengan memuatkan sehingga 100 mod kecergasan terbina yang berbeza. Melaluinya, ia boleh digunakan untuk berjalan, berlari, mendaki, berbasikal, berenang dan banyak lagi.

Ia turut dilengkapi mod golf yang boleh menganalisa postur ayunan dengan bijak. Kemudiannya, ia akan menyediakan rujukan data untuk anda bermain dengan cara lebih cekap. Anda juga boleh menggunakan fungsi pemantauan tidur bagi mengenal pasti corak tidur anda setiap hari. Selain sejumlah fungsi asas lain termasuklah jam randik, kompas, pengesanan cuaca dan banyak lagi.

Untuk prestasi menyeluruh, penulis boleh katakan pengalaman penggunaan memuaskan. Penulis juga tidak menghadapi masalah untuk memahami antaramukanya. Tetapi, bohonglah kalau penulis katakan tiada langsung. Ia berfungsi dengan lancar dan stabil. Cuma ada masanya, penulis berhadapan juga dengan sedikit isu lengah ketika cubaan menatal. Tetapi, ia tidaklah sehingga menyebabkan gangguan teruk pada penggunaan. Ketiadaan kebolehan membalas notifikasi secara terus daripada jam juga menjadikan fungsi asas padanya agak terhad.

Aplikasi

Untuk sambungan ke peranti pintar, anda boleh menyambung jam tangan pintar ini melalui penggunaan aplikasi Huawei Health. Rasanya semua sudah sedia maklum – ia boleh digunakan pada peranti Android 4.4 dan iOS 9 keatas. Proses tambatan adalah semudah ABC dan prestasinya dilihat pantas sahaja. Di mana, dengan adanya fungsi bluetooth, anda boleh menyambungkan jam pintar ini secara terus ke peranti pintar. Akan tetapi, untuk sambungan buat kali pertama prosesnya agak mengambil masa sedikit. Penulis berkata sedemikian kerana terdapat sejumlah langkah yang perlu diikut untuk membuat sambungan lengkap. Melalui aplikasi ini juga, anda boleh menyemak keseluruhan data terkini pada jam tangan pintar dengan mudah. Selain, turut dapat menguruskan notifikasi pada jam dengan baik.

Bateri

Untuk ketahanan bateri, Huawei Watch GT2 Pro turut meneruskan tradisi pendahulunya dengan ketahanan sehingga 14 hari. Ia akan berkurangan menjadi 30 jam dengan fungsi GPS terpasang sepanjang massa. Ternyata ia bukan satu dakwaan yang tidak berasas. Sebaliknya, jam tangan pintar ini dilihat memiliki jangka hayat bateri yang sangat baik dalam dunia nyata. Ia mampu mencapai penggunaan sekitar 10 hari untuk penggunaan biasa – termasuklah digunakan untuk menjawab panggilan dan mod penjejakan normal tanpa mengaktifkan mod sukan sepenuhnya. Ia adalah satu perkara yang boleh dipuji, memandangkan tidak perlu dicas dengan kerap. Untuk pengecasan pula, anda boleh mengecas jam tangan pintar ini melalui pengecas magnetik yang disambungkan melalui sambungan USB-C. Lebih menariknya, pengecasan secara nirwayar juga boleh dilakukan sekiranya perlu.

Kesimpulan

Kesimpulannya di sini, jam tangan pintar ini didatangkan dengan sejumlah fungsi berguna dan mudah digunakan. Ia juga merupakan peranti boleh pakai berfokuskan kecergasan yang hampir menyeluruh bersama penawaran rekaan premium. Keupayaan baterinya juga harus dipuji kerana ia menyajikan pengalaman penggunaan yang lama. Namun begitu, kekurangannya terletak pada akses aplikasi yang terhad. Selain, ketiadaan fungsi membalas notifikasi secara terus daripada jam pintar. Ia sekaligus menjadikan jam tangan ini ‘hilang’ satu fungsi asas yang berguna. Bagi yang berminat, Huawei Watch GT2 Pro kini telah berada di pasaran dan dijual pada harga RM1,199 seunit.

PRO

  • Rekaan menarik, kualiti paparan di tahap baik
  • Hadir dengan sokongan GPS dan sensor menyeluruh.
  • Menyokong Pengecasan Nirwayar
  • Menawarkan ketahanan bateri yang lama

KONTRA

  • Lite OS tidak menyokong pemasangan aplikasi
  • Tiada keupayaan membalas untuk notifikasi diterima
  • Storan dalaman sekadar memadai tetapi tidak cukup besar
Komen