Semenjak adanya telefon pintar, kebolehan kamera pada peranti ini telahpun menjalani pelbagai penambahbaikan. Sekarang, kebanyakkan telefon pintar dilengkapi dengan lebih daripada dua sensor kamera. Namun harga jualannya juga dipengaruhi oleh kebolehan sesuatu telefon pintar yang mempunyai pelbagai fungsi. Semakin banyak fungsi boleh dilakukan, semakin mahal harga jualannya. Tetapi ia berbeza bagi siri vivo V20, kerana harga yang dipasarkan adalah sangat mampu milik bagi pelbagai kebolehan kamera yang ditawarkan.
Sebelum kita mengulas lebih lanjut berkenaan siri vivo V20 ini, adalah lebih baik untuk kita mengenali spesifikasi-spesifikasi yang ditawarkan. Siri vivo V20 ini hadir dengan dua variasi, iaitu variasi biasa vivo V20, dan juga vivo V20 Pro. Kedua duanya mempunyai rekaan dan spesifikasi yang hampir sama, namun versi V20 Pro mempunyai spesifikasi yang lebih tinggi.
Bagi vivo V20, ia hadir dengan rekaan skrin 6.44 inci AMOLED, dijana dengan cip Snapdragon 720G, memori 8GB RAM bersama storan 128GB dan bateri 4000mAh yang menyokong pengecasan pantas 33W. Untuk sokongan kameranya pula, ia dilengkapi dengan tri-kamera belakang dengan gabungan sensor 64MP+8MP+2MP selain kamera swafoto 44MP.
Manakala vivo V20 Pro pula, ia hadir dengan skrin 6.44 inci AMOLED, menerima janaan cip Snapdragon 765G, ruangan memori 8GB RAM bersama storan 128GB. Kameranya juga turut menawarkan rekaan tri-kamera belakang dengan gabungan sensor 64MP+8MP+2MP selain dwi-kamera swafoto gabungan 44MP+8MP. Berat telefon pintar ini adalah 170g yang hanya senipis 7.39mm sahaja. Ini menjadikan vivo V20 Pro ini sebagai telefon pintar yang ternipis pernah dilancarkan untuk peranti yang menyokong rangkaian 5G.
Kamera bagi siri vivo V20 ini hadir dengan pelbagai fungsi rakaman yang mana bagi saya telefon pintar kali ini lebih memfokuskan kepada rakaman swafoto. Antaranya adalah fungsi Eye Focus. Jika dahulu, ia agak susah untuk kita dapatkan hasil rakaman yang jelas dimana ia memerlukan anda berdiri dengan lebih statik dan stabil. Namun, dengan fungsi Eye Focus ini pada siri vivo V20, ia tidak lagi menjadi masalah. Hal ini adalah kerana fungsi ini akan meletakkan fokus pada mata anda bagi memastikan subjek di dalam gambar lebih jelas dan fokus walaupun anda sedang bergerak.
Memandangkan vivo V20 Pro dilengkapi dengan dwi kamera hadapan, rakaman swafoto anda menjadi lebih mudah untuk difokuskan. Hal ini adalah kerana kamera swafoto utamanya dibina dengan fungsi autofokus yang akan boleh menghasilkan rakaman tajam dan jitu pada jarak hanya 15cm. Malah sekiranya anda zum hasil rakaman swafoto ini, ia masih lagi jelas. Melalui lensa ini, rakaman swafoto anda akan sentiasa lebih cantik dan tajam walaupun ia diambil pada jarak dekat ataupun jarak jauh.
Sekiranya anda adalah seorang yang gemar melakukan aktiviti lasak dan sering berhasrat untuk merakam detik-detik indah, tetapi tidak kesampaian atas sebab tiada kamera yang cukup baik untuk merakam, siri vivo V20 adalah jawapannya. Ini kerana siri vivo V20 dilengkapi dengan fungsi Portrait Stability Steadiface Selfie Video yang membolehkan anda untuk merakam video swafoto yang lebih jelas walaupun anda sedang bergerak. Malah fungsi ini juga akan sentiasa mengutamakan wajah anda untuk sentiasa berada dalam rakaman sekaligus menjadikan rakaman lebih stabil dan jelas.
Seperti beberapa model telefon pintar vivo sebelum ini, siri vivo V20 ini juga menawarkan fungsi Softlight Super Night Selfie yang membolehkan anda menghasilkan rakaman swafoto pada waktu malam dengan lebih cerah seolah-olah anda mendapatkan bantuan daripada pencahayaan lampu studio. Hal ini adalah disebabkan algoritma AI untuk penggambaran portrait malap akan membantu untuk mencerahkan subjek di dalam gambar. Malah fungsi Selfie Softlight Band juga membantu untuk membaiki suhu pewarnaan pada rakaman dan juga warna kulit untuk disesuaikan dengan cahaya persekitaran agar menjadi lebih jelas dan cantik.
Bukan sekadar kamera swafotonya sahaja yang hebat, malah kamera hadapannya juga tidak kurang tandingannya. Sebab mengapa saya berkata sebegini adalah kerana lensa utama 64MP pada kamera siri vivo V20 ini mampu untuk menghasilkan rakaman yang jelas walaupun anda merakamnya dalam mod zum. Malah pelbagai jenis penggambaran anda boleh lakukan melalui lensa pada kamera belakang, seperti rakaman sudut lebar, super makro, bokeh, efek hitam putih dan juga efek filem.
Mod penggambaran malam bukan hanya disokongan untuk rakaman swafoto sahaja, malah ia juga menyokong untuk dilakukan menggunakan kamera belakang. Fungsi ini dinamakan sebagai Super Night Mode Reinvent yang mana akan menghasilkan rakaman perspektif yang lebih luas dan dalam masa yang sama akan mengesan pewarnaan yang tersembunyi. Ini menjadikan rakaman anda akan menjadi lebih cerah. Malah melalui fungsi Tripod Night Mode juga akan membantu untuk meningkatkan stabiliti dan pewarnaan agar penggambaran malam anda menjadi lebih baik.
Jadi secara kesimpulannya, siri vivo V20 ini adalah sangat sesuai untuk pengguna yang sangat mementingkan kebolehan penggambaran terutamanya rakaman swafoto. Hal ini adalah kerana selain spesifikasi kameranya yang mempunyai pelbagai fungsi rakaman, harga yang ditawarkan juga adalah sangat mampu milik. Di Malaysia, harga jualan untuk model vivo V20 adalah RM1499 manakala versi vivo V20 Pro 5G pula ditawarkan pada harga RM1899. Ini menjadikannya agak berbaloi untuk dibeli sekiranya anda seorang yang mementingkan kebolehan penggambaran dengan harga jualan yang mampu milik. Oleh itu, sekiranya anda berminat, boleh dapatkannya melalui laman rasmi vivo atau pengedar-pengedar rasmi mereka di seluruh Malaysia.
Penafian: Advertorial daripada vivo Malaysia