Carian
#Seratus21 – Perang Penstriman Video
October 19, 2020 Effi Saharudin

Perkhidmatan penstriman berbayar mula mengorak langkah di Malaysia menerusi pelancaran iFlix pada tahun 2015 sebelum diikuti pula oleh Netflix dan Prime Video pada tahun 2016. Kita sudah menghampiri penghujung 2020 dan pasaran penstriman video semakin meriah dengan kehadiran Mubi, Tubi, Apple TV+, Quibi, YouTube Premium, Nurflix dan Curiosity Stream.

Pendek kata jika anda ingin mencari perkhidmatan penstriman yang menawarkan kandungan yang anda ingini, ia boleh diakses semudah memasukkan maklumat kad kredit peribadi.

Menjelang 2021, perang pentsriman akan menjadi semakin hangat kerana faktor peningkatan akses kepada Internet jalur lebar dan Covid-19. Sejak awal tahun ini, jumlah pelanggan perkhidmatan penstriman video berbayar meningkat mendadak kerana perintah kawalan pergerakan yang dikenakan di peringkat global. Netflix misalnya mencatatkan peningkatan hampir 16 juta pengguna pada bukan April yang adalah dua kali ganda lebih tinggi dari ramalan asal mereka.

Akibat jumlah pengguna yang mencanak naik, Netflix dan YouTube terpaksa mengurangkan kualiti penstriman di Eropah, Malaysia dan India bagi mengurangkan beban kepada infrastruktur Internet.

Disney Plus

Satu nama yang masih belum memasuki gelanggang tempur penstriman di Malaysia ialah Disney+. Tetapi ini pastinya berlaku dalam masa terdekat kerana ia telahpun ditawarkan di India dan Indonesia. House of Mouse sekarang hanya menanti masa untuk masuk dengan Lightsaber mereka dengan ura-ura ia kerjasama bakal dilakukan bersama Astro yang selama ini memegang lesen Disney Channel.

Ura-ura semakin hangat selepas pihak Astro sendiri mengesahkan bakal melancarkan perkhidmatan penstriman mereka sendiri pada tahun 2021. Astro merancangkan menjadi platform agregat kandungan dari perkhidmatan penstriman yang lain. Mereka telahpun melakukannya menerusi kerjasama dengan HBO GO dan iQiyi sebelum ini. Pakej Disney+ mungkin akan ditawarkan kepada pelanggan Disney Channel sedia ada secara dua dalam satu.

Astro Go

Penstriman akan menjadi platform media utama pada tahun 2021 dengan dunia masih belum menunjukkan akan kembala kepada norma-lama pra-koronavirus. Di negara-negara barat beberapa rangkaian pawagam telahpun menggulung tikar. Orang ramai pula masih belum berani untuk pulang ke pawagam. Akibatnya beberapa filem mula ditawarkan terus ke perkhidmatan penstriman seperti Mulan di Disney+ serta The Witches yang terus ke HBO Max.

Jika dahulu penstriman dianggap jijik oleh studio kerana mengurangkan pungutan, ia kini adalah penyelamat dari kerugian kerana filem tidak boleh ditayangkan di pawagam. Beberapa usaha awal untuk menawarkan penstriman terus ke rumah sebelum ini menerima tentangan studio. Di Malaysia GoGoCinema telah dilancarkan pada tahun 2019 dengan kerjasam GSC Cinemas untuk menawarkan filem-filem klasik yang mungkin telah terlepas di panggung.

Netflix telah memulakan langkah menayangkan filem dari pengarah berprestij seperti Martin Scorcese (The Irishman), Michael Bay (6 Underground) dan Alfonso Cuaron (Roma) di platform mereka bagi menghilangkan stigma straight-to-video. Disney pula menstruktur semula organisasi syarikat bagi memberikan perhatian kepada penstriman sekaligus menghadapi dunia tanpa panggung wayang dalam masa terdekat.

Kita kembali semula ke Malaysia buat seketika. Selain Astro, Nurflix akan memulakan operasi pada tahun 2021. Hari ini ujian Beta tertutup telahpun dimulakan. Kemunculan Nurflix sebenarnya dinantikan oleh pengguna yang mencari kandungan berunsur islamik. Ramai merasakan kandungan dari perkhidmatan lain tidak sesuai dengan kompas moral mereka dan Nurflix memenuhi kekosongan tersebut. Sasaran Nurflix adalah agak besar dengan 1000 tajuk kandungan eksklusif dalam masa 5 tahun.

Namun begitu terdapat juga sedikit kerisauan tentang masa depan Nurflix memandangkan iFlix sebelum ini mengalami pelbagai masalah kewangan sehingga gagal melalukan pembayaran kepada penerbit filem Daulat. Jika iFlix yang menawarkan kandungan yang merangkumi demografi lebih besar, adalah Nurflix boleh berjaya dengan demografi lebih niche? Bercakap mengenai kandungan yang mematuhi syariah, apa khabar Aflix yang lebih awal mengumumkan perkhidmatan mereka tetapi kini menjadi perisian wasap (vaporware).

Risiko kandungan niche ini boleh dilihat pada nasib Quibi yang dilancarkan semasa pandemik sebagai platform video pendek menegak. Di atas kertas sini ialah kandungan yang diingini oleh Gen Z (yang menjadi sasaran mereka) tetapi hanya 8% melanggan selepas tamat tempoh percuma.

Yang pasti pada tahun 2021, industri penstriman video pastinya akan meletup kerana kombinasi Internet mudah alih pantas, Internet talian tetap pantas, tabiat menonton yang berubah dan Covid-19. Yang menjadi penghalang kepada penstriman ialah tidak lagi dilihat sebagai alternatif lebih murah kepada TV satelit berbayar kerana keperluan melanggan kepada lebih dari satu perkhidmatan.

Komen