ASUS Memperlihatkan Kad Grafik ASUS ROG STRIX GeForce RTX 3090 Edisi Gundam

ASUS Memperlihatkan Kad Grafik ASUS ROG STRIX GeForce RTX 3090 Edisi Gundam

Diterbitkan pada Okt 19, 2020 oleh .

Beberapa hari lalu kami ada melaporkan bahawa ASUS telah memperkenalkan beberapa siri komponen dan aksesori komputer yang bertemakan anime Mobile Suit Gundam.

Pada hujung minggu yang lalu, mereka telah memperlihatkan sebuah lagi komponen yang bertemakan anime tersebut, iaitu ASUS ROG STRIX GeForce RTX 3090 edisi Mobile Suit Gundam yang menggabungkan rekaan penyejuk ROG STRIX bersama-sama dengan warna Gundam RX78-2.

Kad grafik ini, seperti model STRIX sebelum ini hadir dengan sistem penyejukan tiga-kipas dan spesifikasi dalaman yang sama dengan kad grafik ROG STRIX 3090 yang asal.

Apa yang membuatkan model ini menarik ialah rekaan keseluruhan berwarna putih bersama-sama dengan carikan biru, merah dan kuning, yang bukan sahaja kelihatan seperti rekaan warna Gundam yang diperkatakan, tetapi juga iras-iras bendera Malaysia.

Menurut ASUS, kad grafik ini hanya akan dijual di pasaran Asia, dan pada hemat kami khususnya di negara-negara seperti Taiwan dan Jepun pada harga jauh lebih mahal daripada harga asal kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3090.

Ia akan dijual pada harga sekitar 16,999 yuan, ataupun sekitar $2500/~RM11,000. Buat masa ini ASUS masih belum mengesahkan lagi bilakah ia akan mula dijual.



Paling Popular