IQOO U1 telah diperkenalkan sekitar Julai lalu dengan cip pemproses Snapdragon 720G. Dalam perkembangan terkini, sebuah lagi peranti terkini keluaran jenama ini mungkin bakal diumumkan tidak lama. Dikenali sebagai IQOO UIx, ia didakwa telah mula disenaraikan di kedai atas talian di China, JD.Com. Sekaligus, turut mendedahkan rekaan penuh peranti termasuk pada panel hadapan dan juga belakangnya.
Secara kasarnya, rekaan pada panel belakang kelihatan sama sahaja seperti IQOO U1 – hadir dengan sistem tri-kamera utama dibelakang disusun secara menegak bersama satu LED Flash. Namun terdapat perbezaan pada panel hadapannya, di mana IQOO U1x dilihat menggunakan skrin dengan rekaan bertakuk kecil untuk menempatkan kamera hadapan. Paparan ini dijangka hadir dengan panel jenis IPS LCD, memandangkan terdapatnya sokongan pengimbas cap jari pada bahagian sisi.
Tidak banyak yang diketahui mengenai spesifikasinya, tetapi ia dipercayai hadir dengan cip Snapdragon 662, bateri 5,000mAh, selain turut menyertakan pilihan memori sehingga 6GB RAM dan storan dalaman 128GB. Tarikh pelancaran peranti juga masih menjadi tanda tanya, namun kita boleh menjangkakan ia bakal diumumkan tidak lama lagi.