Google Assistant: Kini Menyokong Podcast Pihak Ketiga Dan Mod Memandu Turut Diedarkan

Google Assistant: Kini Menyokong Podcast Pihak Ketiga Dan Mod Memandu Turut Diedarkan

Diterbitkan pada Okt 19, 2020 oleh .

Google Assistant adalah pembantu digital yang cukup bijak. Malah, ia adalah pembantu digital kegemaran kami. Ia lebih efisien, lebih pintar dan mempunyai banyak fungsi dan ciri menarik. Google Assistant menyokong banyak perkhidmatan penstriman muzik, untuk kawalan arahan suara dan penggunaan pada speaker pintar atau paparan pintar. Tetapi untuk podcast ia terhad kepada perkhidmatan dari Google sahaja.

Terkini, Spotify dilihat telah disenaraikan dalam pilihan podcast lalai untuk Google Assistant. Pengguna kini boleh memilih Google Podcast ataupun Spotify sebagai sumber podcast yang diinginkan. Podcast tidak dinafikan semakin hari semakin popular, sebagai kandungan informasi, hiburan dan banyak lagi. Dengan memilih Spotify, pengguna kini boleh menikmatinya secara rentas peranti daripada telefon sehinggalah ke peranti berhubung.

Selain itu, mod memandu Google Assistant turut diedarkan. Bulan Mei tahun lepas, Google mengumumkan Google Assistant Driving Mode. Ia adalah mod memandu jika pengguna ingin menggunakan Google Assistant sambil memandu. Kini selepas lebih setahun, ia mula diedarkan oleh Google. Tetapi ini bukannya Android Auto for Phone Screens. Ia adalah penggunaan secara terus Google Assistant, tetapi dengan antaramuka yang sesuai untuk memandu.

Beberapa minggu lepas, Google mengemaskini Google Maps dengan menawarkan antaramuka yang lebih kurang sama. Mod memandu Google Assistant ini terbina terus dalam Google Maps. Ini bermakna, kemaskini beberapa minggu lepas itu adalah persediaan awal untuk Google Assistant Driving Mode. Secara asasnya, ia kelihatan seakan Android Auto tetapi untuk saiz skrin yang kecil.

Kemaskini ini adalah seperti biasa, ia diedarkan secara ujian A/B dan adalah berperingkat.

Sumber: 1 dan 2



Paling Popular