OmniVision adalah syarikat yang menghasilkan sensor untuk banyak kamera pada telefon pintar. Ia terkenal pada peranti seperti Xiaomi, Samsung dan Sony. Terkini, mereka telah melancarkan sensor 64MP 1 mikron pertama dunia, OV64A. Sensor ini bersaiz 1/1.34” dan menyokong 1 mikron pixel. Ia boleh digunakan sebagai lensa utama atau juga lensa sudut ultra lebar.
Untuk rakaman video, sensor ini mampu merakam video 8K 30FPS. Selain itu ia turut menyokong 4K 120FPS dengan sokongan EIS. Pada resolusi 1080p, ia menyokong 240FPS dan 720p pula adalah 480FPS. Paling menarik adalah, sensor ini mampu menggunakan teknik pixel binning 4K 4-dalam-1 untuk mempunyai kualiti lebih hebat seakan pixel bersaiz 2 mikron. Sensor ini juga lebih sensitif kepada cahaya iaitu 60% lebih sensitif berbanding sensor 64MP 0.8 mikron mereka sebelum ini. Ini bermakna, lensa ini akan mempunyai prestasi cemerlang untuk mod malam. Sensor ini turut mempunyai cip tersendiri, iaitu penuras warna kuad-sel (Quad Bayer) untuk tujuan pixel binning.
Melalui cip tadi, sensor 64MP boleh mengambil gambar 16MP pada kualiti lebih baik. Cip ini juga menyokong bukaan lensa 2- dan 3- HDR berperingkat. Kemudian, turut terdapat pemetaan tona untuk menghasilkan warna yang lebih menarik. Dengan adanya cip ini, ia membantu pasca-proses gambar lebih pantas dan tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada cip pemprosesan telefon pintar.
Menurut OmniVision melalui laporan TSR, 322 juta peranti pada tahun 2021 akan menggunakan sensor kamera bersaiz lebih 50MP. Mereka berhasrat untuk turut serta, agar sensor mereka digunakan pada tahun hadapan. Oleh yang demikian, OV64A akan mula dihasilkan secara pukal bermula hujung tahun ini.