Cari @ Amanz

Seperti yang dijanjikan, Oppo kini telah memperkenalkan televisyen pintar pertama mereka yang terdiri dengan dua jenis model iaitu Oppo TV R1 dan Oppo TV S1. Kedua-duanya hadir dengan skrin resolusi 4K bersama kadar segar semula 120Hz. Namun begitu, masing-masing hadir dengan sejumlah ciri menarik lain yang meletakkan kedua-duanya berada di kelas yang tersendiri.

Kita mulakan terlebih dahulu dengan Oppo TV S1. Televisyen pintar ini hadir dengan skrin QLED 65-inci dengan kadar segar semula 120Hz. Difahamkan, sokongan kadar segar semula yang digunakan adalah boleh-ubah antara 48Hz hingga 120Hz bergantung kepada jenis kandungan. Panel ini juga dikatakan mampu memaparkan 120% warna di dalam gamut NTSC, menawarkan kecerahan puncak pada 1,500 nits selain, turut hadir dengan sokongan untuk HDR10, HDR10+, HLGS dan Dolby Vision. Turut kelihatan, rekaannya hadir dengan binaan bezel nipis bersama sokongan kamera pop-naik.

Seterusnya, spesifikasi dalaman televisyen ini dijana dengan cip pemproses empat-teras MediaTek bersama padanan memori 8.5GB RAM dan 128GB storan dalaman secara terbina. Difahamkan juga, ia menjalankan versi ColorOS TV yang menyokong sehingga 100 aplikasi, selain juga dilengkapi sokongan bluetooth 5.0, sistem pembesar suara 18 unit dengan output 85W dan sokongan Dolby Audio. Oppo TV S1 dijual pada harga CNY 7,999 (~RM4,955) dan buat masa ini ia hanya ditawarkan untuk pasaran China sahaja.

Bergerak ke Oppo TV R1. Model ini pula hadir dalam dua jenis saiz skrin iaitu berukuran 55-inci dan 65-inci. Kedua-duanya berkongsi spesifikasi yang sama termasuk sokongan panel dengan resolusi 4K, bersama nisbah skrin ke badan yang luas mencecah 96%. Namun begitu, tiada sokongan kamera pop-naik padanya sebaliknya ia hadir dengan rekaan standard sebuah televisyen pintar. Panel pada siri Oppo TV R1 mempunyai kemampuan memaparkan 95% gamut warna DCI-P3, selain juga hadir dengan sokongan untuk HDR, HDR10+ dan HLGS.

Beralih ke spesifikasinya, kedua-duanya menggunakan cip MediaTek MT9652 empat teras dengan sokongan 2GB RAM dan 32GB storan dalaman secara terbina. Spesifikasi lain termasuklah menjalankan versi ColorOS TV,menyokong NFC, sistem pembesar suara 20W dengan sokongan Dolby Audio dan sebagainya. Oppo TV R1 55″ ditawarkan pada harga CNY 3,299 (~RM2,044), manakala Oppo TV R1 65″ pula berharga CNY 4,299 (RM2,663).

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd