Pra-tempah Huawei Matebook 14 Akan Dibuka Pada 26 Oktober Dengan Harga Permulaan RM3799

Pra-tempah Huawei Matebook 14 Akan Dibuka Pada 26 Oktober Dengan Harga Permulaan RM3799

Diterbitkan pada Okt 20, 2020 oleh .

Jika anda sedang mencari sebuah komputer riba nipis dan ringan yang boleh digunakan untuk kedua-dua tujuan produktiviti dan juga riadah, Huawei Malaysia telah mengumumkan bahawa siri komputer riba Huawei Matebook 14 akan memasuki pasaran tempatan tidak lama lagi.

Komputer riba Matebook 14 ini hadir dengan paparan IPS bersaiz 14 inci dengan resolusi 2160×1440 pixel dengan nisbah aspek 3:2 yang menjadikan paparan ini sedikit lebih tinggi dari biasa.

Dari segi spesifikasi, pengguna mempunyai dua pilihan CPU, iaitu AMD Ryzen 7 4800H ataupun AMD Ryzen 5 4600H dengan memori DDR4 sebanyak 16GB dan juga storan SSD PCIe sebanyak 512GB.

Dari segi I/O, Matebook 14 ini dilengkapi dengan dua palam USB 3.2 Type-A, satu palam USB Type-C dengan kebolehan SuperCharge yang digunakan untuk mengecas komputer riba ini, satu palam HDMI bersaiz penuh dan juga palam audio 3.5mm.

Untuk mereka yang sentiasa bergerak kesana kesini, Huawei Matebook 14 ini hadir dengan rekaan nipis dan ringan, dimana ia mempunyai ketebalan 1.59cm dan hanya seberat 1.5kg sahaja.

Menurut Huawei Malaysia, komputer riba Huawei Matebook 14 ini hadir dengan tanda harga RM3799 untuk model AMD Ryzen 5 4600H dan RM4399 untuk model AMD Ryzen 7 4800H.

Pra-tempah untuk peranti ini akan dibuka untuk pasaran tempatan pada 26 Oktober kelak di kedai atas-talian Huawei bermula 26 sehingga 29 Oktober kelak.

Pelanggan yang pra-tempah komputer riba Matebook 14 ini berpeluang menerima aksesori percuma bernilai RM1177, termasuklah fon telinga nirwayar Huawei Freebuds 3, sebuah tetikus nirwayar dan juga sebuah beg galas.



Paling Popular