Selain dari fungsi Sky Replacement yang memudahkan pengguna menggantikan latar belakang gambar sedia ada, Adobe turut membawakan beberapa fungsi lain yang menarik menggunakan enjin kecerdasan buatan mereka iaitu Adobe Sensei.
Di bawah fungsi Neural Filters, pengguna berkebolehan melakukan suntingan berkualiti tinggi dengan lebih pantas, semudah melakukan tetapan palang laras dan tahap perubahan, tanpa perlu melakukan proses yang rumit. Berikut hanyalah beberapa pilihan dalam fungsi Neural Filters.


Style Transfer – Fungsi ini membolehkan gambar-gambar diwarnakan atau dicorakkan mengikut tetapan atau corak sedia ada. Contoh sekiranya anda mempunyai gambar yang ingin mengikut gaya lukisan The Starry Night dari Vincent van Gogh, ia semudah dengan menekan lukisan tersebut, dan akan diaplikasikan kepada gambar atau hasil kerja anda.

Refine Edge – Jika pada satu ketika dulu adalah sukar untuk memilih subjek dan ia memerlukan penggunaan Lasso Tool yang agak rumit, kini dengan Refine Edge ia membolehkan pemilihan subjek dilakukan dengan mudah meskipun objek mempunyai bulu atau rambut yang halus. Dengan kecerdasan buatan, pemilihan objek menggunakan fungsi Refine Edge menjadi lebih tepat kerana ia menggabungkan pelbagai algoritma pemilihan subjek.

Head & Gaze Slider – Jika anda tahu mengenai proses Deepfake, iaitu pemalsuan wajah, dengan Head & Gaze Slider anda boleh memanipulasi gambar potret untuk menukar sudut pandang, renungan, malah boleh meletakkan emosi dan kedutan pada wajah tersebut.

Depth-Aware Haze – Jika anda ingin menampilkan kesan khas seolah-olah dalam hutan yang diselaputi kabus, fungsi ini akan menggunakan kecerdasan buatan Adobe Sensei yang akan menganalisa gambar, dan memberikan kabus yang bersesuaian dengan keadaan gambar tersebut.
Banyak lagi perubahan dan fungsi baru yang diperkenalkan pada Adobe Photoshop 2020. Selamat mencuba.