Cari @ Amanz

Beberapa Pengguna Melaporkan Pixel 5 Mempunyai Kualiti Binaan Yang Tidak Kemas

Link Copied!

Pixel 5 adalah peranti mercu terbaru daripada Google. Tetapi peranti ini, nama sahaja mercu – dalaman adalah kelas pertengahan. Ia dijana dengan Snapdragoon 765G, memori 8GB RAM dan menggunakan sistem dwi-kamera. Disebabkan kategori peranti ini adalah dikira sebagai peranti mercu oleh Google dan dijual pada harga murah, banyak pengorbanan perlu dilakukan. Tiada lagi cip Pixel Neural Core, tiada lagi sensor Soli dan terkini kualiti binaan pun turut dikorbankan.

Ini kerana, beberapa pengguna telah melaporkan yang Pixel 5 yang diterima mereka mempunyai sela di antara skrin dan kerangka peranti. Ini menimbulkan rasa tidak senang terhadap perlindungan IP68 pada peranti ini. Ia kelihatan seakan gam antara skrin dan badan peranti tidak begitu kuat atau mungkin tidak rata. Kawasan di mana sela berlaku adalah tidak konsisten. Ada yang berlaku di kawasan kamera swafoto, ada pula di bahagian slot kad SIM, atau juga di sisi.

Buat masa ini, Google masih belum memberikan sebarang kenyataan. Tetapi nampaknya Google perlu belajar dengan pesaing bagaimana menjual peranti murah yang kelihatan premium tanpa mengorbankan kualiti binaan.


Komen ()