Google Disaman Oleh Jabatan Kehakiman Kerana Melanggar Akta Anti Monopoli

Google Disaman Oleh Jabatan Kehakiman Kerana Melanggar Akta Anti Monopoli

Diterbitkan pada Okt 21, 2020 oleh .

Semalam Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat telah memfailkan saman ke atas Google kerana didakwa melanggar akta anti monopoli. Dalam writ yang difailkan, Google dikatakan mempunyai pegangan yang besar ke atas jutaan pengguna Internet, pengiklan, perniagaan kecil dan usahawan menggunakan taktik perniagaan yang memonopoli pasaran.

Tindakan Google menetapkan enjin carian mereka secara lalai pada peranti dan pelayar Chrome turut dilihat sebagai tidak adil kepada pesaing. Tambahan lagi persetujuan Google dengan Apple untuk menggunakan Google Search sebagai enjin carian utama Safari turut turut dilihat sebagai langkah anti pesaing. Akhir sekali perkhidmatan Google yang terpasang pada peranti mudah alih turut dilihat sebagai memberikan kelebihan kepada mereka.

Pihak Google telahpun mengeluarkan kenyataan rasmi menyangkal kesemua dakwaan Jabatan Kehakiman A.S. Menurut mereka pengguna tidak pernah dipaksa untuk menggunakan perkhidmatan Search mereka dan bebas menggunakan perkhidmatan dari pesaing.

Tetapan menukar enjin carian lalai diberikan kepada pengguna Safari dan Chrome pada pelbagai peranti. Malahan Yahoo! dan Bing turut membayar Apple untuk meletakkan enjin carian mereka di Safari. Google turut membenarkan perkhidmatan lain disertakan secara terpasang oleh pengeluar peranti Android.

Dengan saman yang difailkan hari ini, Google menjadi sebuah lagi syarikat teknologi besar yang akan bertarung dengan kerajaan A.S selepas AT&T pada tahun 1974 dan Microsoft pada tahun 1998.



Paling Popular