Netflix Merancang Untuk Menguji Penstriman Percuma 48 Jam Di India – Acara Dinamakan StreamFest

Netflix Merancang Untuk Menguji Penstriman Percuma 48 Jam Di India – Acara Dinamakan StreamFest

Diterbitkan pada Okt 21, 2020 oleh .

Sejak Netflix mula membuka pintu perkhidmatan penstrimannya secara global, syarikat tersebut dilihat menerima beratus juta pengguna baru, dan telah memperkenalkan pelbagai teknologi dan pelan baru yang berfungsi untuk segenap lapisan masyarakat.

Terkini, Netflix dilihat ingin memperkenalkan sebuah acara baru dimana ia akan membenarkan akses percuma kepada perkhidmatan penstriman mereka yang dinamakan StreamFest.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Netflix, Greg Peters, syarikat tersebut sedang merancang untuk memperkenalkan acara tersebut di India, dimana semua orang yang mempunyai akses kepada peranti ataupun televisyen pintar boleh menonton semua rancangan Netflix secara percuma selama 48 jam.

Apa yang membuatkan acara ini menarik ialah Netflix akan membuka perkhidmatan penstriman mereka kepada orang ramai tanpa perlu memasukkan butiran kad kredit seperti yang diperlukan sebelum ini.

Laporan daripada Protocol juga mengatakan bahawa promosi 48 jam ini mungkin akan hadir dengan kapasiti pengguna terhad, mungkin sebagai satu cara untuk Netflix menguji kapasiti mesin pelayan mereka dalam menerima sejumlah pengguna besar pada satu-satu masa.

Greg Peters juga mengatakan bahawa terdapat kebarangkalian jika acara StreamFest ini berjaya di India, Netflix akan memperkenalkannya ke pasaran-pasaran lain, khususnya di lokasi-lokasi dimana mereka tahu mereka boleh menambah jumlah pelanggan dengan lebih banyak lagi.



Paling Popular