Setelah pelancaran siri CPU AMD Ryzen 5000 yang menggunakan cip pemprosesan Zen 3 terbaru mereka, AMD dijangka melancarkan siri kad grafik terbaru mereka pada penghujung bulan ini yang dinamakan AMD Radeon RX 6000.
Baru-baru ini, nampaknya tiga daripada model siri kad grafik tersebut telahpun tertiris bersama-sama dengan beberapa spesifikasi dalaman ke arena web melalui laman web peniris komponen terkenal, VideoCardz.
Nama kad-kad grafik tersebut dikatakan termasuklah AMD Radeon RX 6900XT, AMD Radeon RX 6800XT, AMD Radeon RX 6800 dan AMD Radeon RX 6700.
Bermula dengan kad grafik AMD Radeon RX 6900XT, kad grafik ini dilaporkan hadir dengan 80 Compute Unit (5120 pemproses strim). Ia juga dilengkapi dengan memori GDDR6 sebanyak 16GB.
Dari segi kelajuan GPU, RX 6900XT ini dikatakan akan mempunyai kelajuan asas 2040MHz dan kelajuan lewahjam 2330MHz dan dikatakan adalah model mercu AMD. Buat masa ini, kad grafik ini dikatakan hanya akan dikeluarkan oleh AMD sahaja.
Beralih kepada AMD Radeon RX 6800XT, ia hadir dengan 72 Compute Unit (4608 pemproses strim) dan mempunyai jumlah memori yang sama dengan kad grafik AMD Radeon RX 6900XT. Dari segi kelajuan, kad grafik ini mempunyai kelajuan asas 2015MHz dan kelajuan lewahjam 2250MHz.
Kad grafik AMD Radeon RX 6800 pula dilengkapi dengan 64 Compute Unit (4096 pemproses strim)dan jumlah memori GDDR6 yang sama dengan kedua-dua kad grafik yang lebih berkuasa tersebut. Ia mempunyai kelajuan asas 1815MHz dan kelajuan lewahjam 2105MHz.
Dalam pada itu, VideoCardz juga berkata bahawa dua lagi kad grafik, iaitu AMD Radeon RX 6700XT dan Radeon RX 6700 akan dilancarkan pada bulan Januari kelak, manakala siri kad grafik RX 6900XT hingga RX 6800 akan diperkenalkan pada 28 Oktober kelak.