Samsung Mempatenkan Peranti Dengan Speaker Pop-Naik Bertaraf Profesional

Samsung Mempatenkan Peranti Dengan Speaker Pop-Naik Bertaraf Profesional

Diterbitkan pada Okt 21, 2020 oleh .

Samsung pasti terkenal dengan inovasi teknologi mereka. Lebih-lebih lagi dengan teknologi skrin seperti Foldable Dynamic AMOLED dengan kaca UTG. Tetapi dalam paten terkini yang Samsung daftarkan, ia memperlihatkan rekaan serba baharu yang lebih segar dan sangat unik. Peranti yang Samsung patenkan ini dilihat memfokuskan kepada audio, yang mana dikatakan adalah pembesar suara bertaraf profesional.

Apa yang unik adalah, peranti ini menggunakan sistem pembesar suara pop-naik. Bahagian atas skrin akan melengkung secara automatik, yang mana akan menggunakan panel skrin yang fleksibel. Mekanisme ini akan mendedahkan pembesar suara. Di sisi peranti turut ada kekisi dan unit pembesar suara tersebut diletakkan berdekatan dengan sisi peranti. Dengan pergerakan mekanisme ini, ia akan mewujudkan kebuk resonans untuk pembesar suara mempunyai kesan seakan boombox atau untuk mempunyai bass yang lebih dalam.

Samsung Galaxy smartphone

Dokumen paten ini turut mencatatkan yang skrin yang akan digunakan adalah jenis CPI, iaitu plastik seakan Galaxy Fold pertama. Tetapi dengan kewujudan UTG, tidak dinafikan Samsung akan berubah fikiran. Selain daripada pembesar suara, mikrofon dan kamera swafoto juga akan diletakkan di bahagian skrin ini.

Rekaan peranti juga dilihat bersegi mirip seakan iPhone 12. Rekaan seperti ini kelihatan sangat unik dan menarik. Tetapi jika ini adalah peranti mercu, rekaan ini kelihatan mustahil untuk menerima sokongan perlindungan IP68. Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan.



Paling Popular