Acer Memperkenalkan Komputer Riba Dengan Rekaan Porsche Design – Acer Book RS

Acer Memperkenalkan Komputer Riba Dengan Rekaan Porsche Design – Acer Book RS

Diterbitkan pada Okt 21, 2020 oleh .

Acara Acer Global Press Conference yang baru sahaja berlangsung memperlihatkan Acer melancarkan sebuah komputer riba baharu yang dinamakan Acer Book RS yang dibangunkan dengan kerjasama Porsche Design.

Untuk membangunkan komputer riba ini, Porsche Design mengambil reka-bentuk Acer Swift 3 dan memberikannya sentuhan premium dengan menggunakan rangka luaran aluminum yang berkilat dan juga penutup belakang yang diperbuat daripada gentian karbon dengan berat 1.2kg sahaja.

Dari segi spesifikasi dalaman, Acer Book RS dikuasakan oleh CPU Intel Core i7 generasi ke-11 Tiger Lake, memori DDR4 sebanyak 16GB, storan SSD PCIe dan juga cip pemprosesan grafik NVIDIA GeForce MX350.

Acer juga mengatakan bahawa Acer Book RS ini ialah salah satu daripada komputer riba siri Intel Evo, dan menjanjikan jangka-hayat bateri cukup lama pada 17.5 jam dengan satu pengecasan penuh.

Dalam pada itu, ia juga hadir dengan sistem pengecasan pantas, dimana pengguna boleh mendapatkan jangka-hayat penggunaan laptop selama 4 jam apabila ia dicas selama 30 minit sahaja.

Selain daripada itu, komputer riba ini juga hadir dengan beberapa aksesori tambahan seperti tetikus, pad tetikus dan juga beg menyimpan komputer riba magnetik yang boleh digabungkan dengan pad tetikus tersebut.

Buat masa ini, Acer masih belum mengumumkan lagi bilakah Acer Book RS ini akan memasuki pasaran tempatan kelak.



Paling Popular