Acer Swift 3X Ialah Komputer Riba Acer Pertama Dengan Cip Grafik Iris Xe MAX

Acer Swift 3X Ialah Komputer Riba Acer Pertama Dengan Cip Grafik Iris Xe MAX

Diterbitkan pada Okt 21, 2020 oleh .

Sewaktu acara Acer Global Press Conference yang dijalankan baru-baru ini, syarikat peranti elektronik terkemuka tersebut telah mengemaskini siri komputer nipis dan ringan mampu-milik mereka, Acer Swift 3 dengan model baru yang dinamakan Acer Swift 3X.

Komputer riba ini dilengkapi dengan paparan skrin IPS 13 inci dengan resolusi Full HD yang dikuasakan oleh siri CPU Intel generasi ke-11 Tiger Lake. Spesifikasi dalaman yang lain termasuklah penggunaan memori DDR4 dan juga penggunaan storan dalaman PCIe.

Satu keunikan utama pada komputer riba ini ialah penggunaan cip pemprosesan grafik kendiri terbaru keluaran Intel yang dinamakan Intel Xe MAX. Buat masa ini, spesifikasi khusus mengenai cip pemprosesan grafik ini tidak diketahui lagi, tetapi ia berbeza dengan cip grafik Iris Xe generasi-12 yang terbina didalam cip Tiger Lake.

Sebagai sebuah lagi komputer riba dibawah nama Intel Evo, komputer riba ini turut tiba dengan palam-palam I/O seperti USB 3.2 Type-A dan sokongan untuk palam USB-C Thunderbolt 4.

Dari segi jangka-hayat bateri, Acer mengatakan bahawa Acer Swift 3X ini boleh berfungsi selama 17 jam dengan satu pengecasan penuh. Dengan pengecasan selama 30 minit sahaja, komputer riba ini mampu digunakan selama 4 jam.

Pada berat 1.37kg dan ketebalan kurang daripada 2cm, Acer Swift 3X menjanjikan pengalaman perkomputeran produktiviti dan riadah di mana-mana sahaja.

Komputer riba Acer Swift 3X ini dijangka akan tiba di pasaran EMEA pada bulan Disember kelak pada harga permulaan 849 Euro (RM4712).



Paling Popular