Pandang Pertama Huawei Mate 40 Pro – Adakah Ini Lambaian Terakhir Mate?

Pandang Pertama Huawei Mate 40 Pro – Adakah Ini Lambaian Terakhir Mate?

Diterbitkan pada Okt 22, 2020 oleh .

Huawei Mate adalah siri peranti mercu Huawei kedua selepas siri P. Jikalau siri P, seperti P40 Pro+ memfokuskan fotogtafi – siri Mate adalah seimbang dari semua aspek. Cip berkuasa, kamera hebat, skrin imersif atau juga binaan premium itulah yang ada pada siri Mate ini. Peranti ini juga mungkin merupakan peranti terakhir dalam siri Mate. Jadi adakah ini kali terakhir kita akan lihat peranti dalam siri Mate? Adakah kita akan lihat generasi lain kelak atau juga versi boleh lipat baharu?

Huawei Mate 40 Pro baru sahaja dilancarkan. Peranti ini telah tiba di Makmal Amanz dan kami berpeluang menggunakan peranti ini dalam masa yang singkat. Sekilas pandang memang memberikan perasaan “Wow“. Apabila dipegang ia rasa seperti sebuah peranti bangsawan. Tetapi adakah peranti ini benar-benar menarik dan golongan mana sesuai menggunakan peranti ini? Ini adalah artikel pandang pertama kami.


Spesifikasi & Rekaan

Huawei Mate 40 Pro menggunakan saiz skrin 6.76-inci OLED dengan resolusi FHD+. Ia masih mengekalkan rekaan skrin melengkung 88 darjah seperti Mate 30 Pro, tetapi kini mempunyai kadar segar semula 90Hz. Rekaan ini sudah tidak digunakan oleh peranti mercu pesaing kerana beralih kepada rekaan skrin rata. Peranti ini turut menggunakan rekaan skrin dwi-lubang untuk kamera swafoto dan pengimbas 3D.

Cip pemprosesan adalah Kirin 9000 yang menggunakan rekaan 5nm. Ia adalah cip pemprosesan 5nm pertama Android dan yang paling berkuasa dari Huawei. Dipadankan pula dengan memori 8GB RAM dan storan dalaman 256GB serta kekal dengan sokongan rangkaian 5G. Bateri adalah 4400mAh dengan sokongan pengecasan pantas 66W dan pengecasan nirwayar 50W.

Rekaan pula mengekalkan identiti peranti Mate seperti Mate 30. Tetapi panel belakang dilihat sedikit berbeza, kerana penggunaan warna baharu. Modul kamera walaupun kekal dengan rekaan bulat, tetapi bulatannya kini menjadi bonjol. Bercakap mengenai kamera, ia menggunakan sistem tri-kamera sahaja iaitu gabungan lensa 50MP (utama) + 20MP (sudut ultra lebar) + 12MP (telefoto) + sensor laser dan kamera swafoto 13MP + pengimbas 3D untuk sekuriti.

Peliknya, walaupun butang kawalan suara dikembalikan – sokongan kawalan suara gestur sisi skrin masih dikekalkan. Memegang peranti ini akan mempunyai perasaan yang sama dengan Mate 30, iaitu mewah, mahal dan premium. Penggunaan kawalan gestur juga dilihat menarik dan mudah digunakan.

Pengalaman Penggunaan

Disebabkan tempoh penggunaan kami amat singkat, tidak banyak yang boleh kami uji. Peranti ini menjalankan sistem operasi EMUI 11 dan sayang sekali masih lagi berasaskan Android 10. Apa yang anda lihat dalam artikel EMUI 11 kami, itulah yang ada dalam peranti ini. Tetapi ada yang baharu juga, seperti boleh menetapkan AOD dengan imej tersendiri atau juga GIF pilihan.

Peranti ini masih lagi menggunakan HMS dan tidak menggunakan GMS. Agak kecewa di situ kerana penggunaan adalah terhad. Tetapi 90% aplikasi yang kerap digunakan di Malaysia kini boleh didapati di Huawei AppGallery. Ekosistem Huawei ini juga ditambah baik dengan kelak sokongan Huawei Pay. Sistem pembayaran ini turut akan menggunakan imbasan 3D sebagai sekuriti. Kelak, Huawei Book turut akan ditawarkan di Malaysia.

Menggunakan peranti ini memang terasa lancar, pantas dan menarik. Setiap tatalan dan animasi adalah cantik dan puas sahaja untuk tatal ke sana dan ke sini. Sokongan 90Hz tidak dinafikan sudah mencukupi. Kualiti skrin juga adalah cantik, cukup terang dan memaparkan warna yang tajam. Tetapi disebabkan ia masih melengkung, kandungan akan sedikit terganggu lagi-lagi apabila menonton video. Tetapi Huawei menyarankan gunakan lengkungan di skrin ini untuk kawalan dalam permua.

EMUI masih EMUI, tidak kira 10 atau 11. Pengalaman penggunaan adalah lebih kurang sama sahaja. Cuma bagi yang benar-benar perhatikan dengan jelas, terdapat sedikit perubahan visual dari ikon dan peralihan animasi. Huawei dilihat memfokuskan lebih banyak kepada pengoptimasian dari segi perisian sahaja. Jujur kami katakan, penggunaan HMS masih tidak dapat menandingi GMS. Agak sukar untuk kami biasakan diri.

Kami tidak sempat untuk menguji permua dan membuat ujian tanda aras mengalami sedikit masalah. Tetapi setakat membuka banyak aplikasi serentak, cuba menggunakan Huawei Share, banyak mengambil gambar – ia beroperasi dengan lancar sekali. Tiada masalah lengah masa, tiada masalah memanas dan ia amat pantas. Jika mengikut spesifikasi dan dakwaan Huawei, cip Kirin 9000 adalah yang paling berkuasa sekarang untuk peranti Android. Ini kerana Snapdragon 875 masih belum wujud lagi. Nantikan perbezaan dan perbandingan dari kami.

Multiscreen 3 Aplikasi Serentak

Melalui EMUI 11 dan PC Manager 11, ia membenarkan pengguna membuka tiga aplikasi serentak dalam peranti Windows. Sebelum ini, sebaik sahaja anda tambat peranti Huawei ke komputer riba Huawei, anda hanya boleh siarkan kandungan skrin ke skrin komputer. Tetapi dengan versi terbaru, tiga aplikasi berbeza boleh berjalan dengan serentak.

Ini akan menjadikan multi tugasan lebih mudah, lebih banyak produktiviti, serta hiburan. Misalnya anda sedang menggunakan WhatsApp, anda boleh membuka pelayar web dan memainkan video dari YouTube. Atau juga sambil kedua-dua aplikasi itu berjalan anda boleh buka aplikasi permesejan lalai untuk semak SMS untuk dapatkan kod-kod TAC.

PC Manager 11 buat masa ini masih lagi dalam ujian beta dan untuk menggunakannya, ia hanya menyokong kepada peranti EMUI 11 dan terhad kepada komputer riba Huawei Matebook sahaja. Ini adalah seperti Samsung Galaxy Note20 Ultra dengan Microsoft Your Phone. Tetapi Samsung dan Your Phone boleh membuka enam aplikasi serentak. Tetapi perlahan-perlahan, sedikit demi sedikit. Harapnya Huawei boleh maju terus ke hadapan.

Kamera

Huawei kali ini turut cuba memfokuskan kepada perisian untuk kamera. Pelbagai mod-mod menarik yang dikuasakan dengan kecerdasan buatan disediakan. Sudah tentu, Huawei P40 Pro+ akan kekal sebagai peranti yang memfokuskan fotografi. Walaupun ada pengurangan lensa, tetapi lensa yang digunakan secara teknikalnya adalah hebat. Jadi tidak mengejutkan jikalau ia akan menerima skor DXOMark yang tinggi.

Huawei menyatakan yang mereka banyak menawarkan mod fotografi, agar pengguna peranti boleh menjadi profesional dalam arena fotografi dan juga videografi. Peranti ini menyokong mod rakaman HDR10+, rakaman yang stabil, penjejakan fokus seakan gimbal, templat tersedia untuk suntingan pantas, sokongan Audio Focus yang mana boleh memfokuskan audio serta menyokong mikrofon luaran lebih-lebih lagi dengan menggunakan TWS.

Di atas adalah beberapa sampel video yang kami berjaya rakam. Dari segi kualiti, ia dilihat lebih baik dari pencahayaan dan pemeliharaan butiran. Warna juga kelihatan lebih tajam dan mempunyai fokus pantas. Seterusnya adalah video pada kamera swafoto yang mana menyokong rakaman gerak perlahan 240FPS. Bukan itu sahaja, kamera swafoto turut menyokong gambar sudut ultra lebar yang luas.

Bercakap mengenai gambar sudut ultra lebar, peranti ini mempunyai sistem anti-herotan yang baik. Tetapi ia menjadikan pandangan hasil gambar tidak cukup luas. Ini mungkin bergantung kepada cita rasa pengguna, tetapi pada hemat kami ia tidak begitu menarik.

Mengambil gambar pula dilihat baik-baik sahaja. Ia adalah seperti yang anda lihat dalam peranti Huawei. Disebabkan tiada lensa periskop, sokongan zum optikal dan digital adalah terhad. Tetapi gambar potret dalam bangunan, gambar pemandangan bangunan semuanya baik sekali. Ia masih hebat, fokus lebih pantas, warna tajam dan mempunyai kecerahan yang baik sekali.

Mengambil gambar dokumen juga semakin hebat dengan sokongan membuang bayang-bayang agar teks pada dokumen lebih jelas. Kami akan terangkan lagi mengenai kamera peranti ini dam artikel berasingan serta dalam ulasan kelak.

Kesimpulan

Tidak dinafikan yang peranti ini adalah berkuasa. Ia terasa lancar dan memuaskan. Rekaan dan binaan premium yang memberikan perasaan berbeza dengan memegang peranti mercu lain. Skrin yang cantik, cukup terang dan mempunyai warna hebat. Tidak lupa juga kamera yang dilihat semakin hebat. Walaupun pada hemat kami P40 Pro+ adalah lebih menarik, kamera Mate 40 Pro masih baik.

Sayang sekali keunikan pada peranti ini tidak dapat menjadikan peranti yang sesuai digunakan sebagai peranti harian. Sekurang-kurangnya buat masa ini. Ini kerana, HMS masih tidak cukup matang dan masih tidak boleh bersaing dengan GMS. Ini menjadikan penggunaan peranti ini terhad.

Peranti ini sesuai untuk mereka yang inginkan penggunaan sangat ringkas atau sambil inginkan kewujudan ciri dan fungsi tambahan menarik. Ini bermakna mereka yang hanya memerlukan aplikasi asas produktiviti atau pengguna iOS yang tiada pengalaman dengan GMS , peranti ini amat sesuai untuk anda. Tetapi dalam proses menggunakan peranti, sambil itu pengguna-pengguna seperti ini perlu belajar cara pemasangan APK.

Bagi mereka yang ada duit lebihan, peranti ini boleh dijadikan sebagai kamera digital. Dengan masih menggunakan Android, banyak APK aplikasi suntingan atau media sosial yang boleh digunakan untuk terus kongsi gambar. Nantikan ulasan lanjut peranti ini akan datang.

Pro

  • Kirin 9000 5nm 5G, cip paling berkuasa Huawei setakat ini
  • Fungsi-fungsi video yang profesional
  • Rekaan premium dan butang fizikal aras suara kembali

Kontra

  • Tiada GMS
  • Masih menggunakan skrin melengkung
  • Skrin kadar segar semula 90Hz sahaja


Paling Popular