Carian
Demonstrasi Comic Blast Pada Adobe InDesign Memudahkan Penerbitan Komik Digital
October 22, 2020 Ikhwan Nazri

Telah menjadi kebiasaan acara Adobe MAX tahunan untuk mengadakan acara Sneaks pada hari kedua. Sneaks merupakan persembahan projek-projek eksperimental Adobe untuk penawaran perisian kreatif mereka dan ia juga sedikit sebanyak memberikan idea mengenai fungsi yang sedang dibangunkan mereka.

Sekiranya anda seorang pelukis komik, atau berminat untuk menerbitkan komik sendiri, demonstrasi Comic Blast ini semestinya menarik minat anda. Ini kerana hanya berasaskan dari fail Microsoft Word, fungsi Comic Blast yang didemonstrasikan pada Adobe Indesign ini dapat menjana kotak dialog komik mengikut mukasurat dan panel komik yang dinyatakan dengan hanya satu butang.

Lebih dari itu, pengguna juga boleh menyambungkan kotak dialog atau mengubah saiz panel komik yang dijana Comic Blast. Dan sekiranya terdapat satu watak yang ingin dilukis mukanya menyerupai muka seseorang, terdapat fungsi Face Morph yang akan melukiskan lakaran muka tersebut, menyerupai muka pengguna.

Dan sekiranya terdapat pilihan interaktif untuk pembaca, ia juga boleh menghasilkan pilihan lain untuk pembaca, dan pelukis hanya perlu menetapkan susur galur penceritaan, sekaligus memberikan pengalaman yang unik buat pembaca.

Fungsi yang didemonstrasikan pada Adobe Indesign ini pastinya dapat menjimatkan masa pelukis disamping memberikan kemungkinan yang lebih besar buat pengkarya komik digital.

Komen