Apa akan jadi jika tarian tidak senada dengan irama lagu? Cacat-cela pergerakan tersebut. Setiap pergerakan tarian seharusnya sama dengan irama dan salah seorang pelatih industri Adobe telah hadir dengan penyelesaian masalah ini.
Menerusi demonstrasi On The Beat sewaktu acara Adobe MAX Sneaks, pelajar ini telah menghasilkan algoritma yang mengenalpasti gerakan yang paling menonjol sewaktu tarian yang telah dirakamkan dengan video dan maklumat ini akan dijana dalam graf pergerakan.
Kemudiannya, algoritma yang sama akan mengecam bunyi-bunyi penting dalam sesebuah lagu, seiring dengan graf audio sesebuah lagu tersebut. Naik turun audio tersebut akan dianalisa oleh algoritma ini.
Selepas pengecaman video dan audio, algoritma tersebut akan cuba untuk menyamakan gerakan paling menonjol dengan bunyi penting dalam lagu. Algoritma tersebut akan menyesuaikan tinggi rendah pergerakan dan lagu, sekaligus menghasilkan pergerakan yang serentak dengan irama lagu.
Pelajar pelatih ini menghasilkan algoritma ini menggunakan Python dan buat masa ini tiada sebarang petunjuk dimanakah fungsi ini boleh diaplikasikan. Jika dianalisa dari bentuk sebegini, tidak mustahil ia akan diaplikasikan pada Premiere Pro dengan integrasi Audition.