Carian
Projek 2D Plus Pada Adobe Illustrator Memudahkan Ilusi 3D Untuk Lukisan Vector
October 22, 2020 Ikhwan Nazri

Meneruskan kemaskini menarik dari Adobe MAX Sneaks, terdapat satu fungsi eksperimental untuk Adobe Illustrator yang sedang dibangunkan. Diberi nama 2D Plus, pengguna boleh menambah ilusi 3D untuk lukisan sedia ada dengan mudah.

Kebiasannya, lukisan 2D mungkin kurang perspektif, tiada permukaan yang bertindak balas terhadap cahaya, atau tiada bayang-bayang untuk objek. Dan bagi menyelesaikan masalah ini, pelukis terpaksa melukis secara manual untuk setiap elemen yang boleh menambah ilusi 3D tersebut kepada objek 2D.

Menerusi 2D Plus pada pilihan Arrange, pengguna boleh menyusun objek-objek yang dipilih, dan setiap objek ini secara automatik tidak akan bertindih. Dan ia juga boleh disusunkan mengikut garis ‘Path’ yang telah dilakarkan. Contohnya dalam video diatas, bangunan yang banyak kemudian disusun mengikut garis perspektif yang melengkung, bangunan tersebut akan mengikut garis tersebut.

Seterusnya, menerusi pilihan Node Plus, cahaya yang menghala ke sesuatu objek dapat dilukis dengan lebih mudah dan pantas. Pengguna hanya perlu menetapkan dimanakah ‘matahari’ mereka, dan semudah satu garisan ia dapat menjana bentuk pencahayaan pada objek yang terkena cahaya matahari.

Akhir sekali fungsi ‘Shadows’ untuk menjana bayang-bayang secara automatik. Jika dari Node Plus pengguna dapat menetapkan matahari mereka untuk menjana cahaya yang jatuh keatas objek, perkara yang sama dapat digunakan untuk menjana bayang-bayang. Dalam demonstrasi diatas, fungsi ini juga dapat menetapkan kehalusan, ketebalan, dan kekuatan bayang-bayang yang terhasil daripada fungsi eksperimental 2D Plus ini.

Komen