Cari @ Amanz

Hari ini OnePlus Malaysia telah melancarkan peranti OnePlus 8T secara rasmi. Ia adalah peranti mercu terbaru daripada OnePlus selepas melancarkan OnePlus Nord beberapa bulan lalu. Siri “T” adalah siri yang lebih mampu milik dan berkuasa, cuma kali ini ia bukanlah “T” seperti tahun lepas dengan OnePlus 7T.

Peranti ini menggunakan skrin Fluid AMOLED jenis rata bersaiz 6.55-inci dengan resolusi terhad kepada FHD+ sahaja. Ia menyokong kadar segar semula 120Hz, kecerahan 1000 nits dan mempunyai warna yang jitu. Perkara yang mengecewakan adalah, ia kekal dengan cip pemprosesan Snapdragon 865 dan bukannya 865+. Pilihan memori pula adalah sehingga 12GB RAM dengan storan dalaman sehingga 256GB. Peranti ini turut mempunyai sistem penyejukan yang lebih baik.

Untuk kamera ia menggunakan tetapan kuad-kamera 48MP (utama) + 16MP (sudut ultra lebar) + 5MP (makro) + 2MP (monokrom) dan juga kamera swafoto 16MP. Bateri pula adalah sebesar 4,500mAh dengan sokongan pengecasan pantas Warp Charge 65W yang boleh mengecas dari 0% – 100% dalam masa 39 minit sahaja. Kabel pengecasan pula adalah jenis C-C.

Peranti menggunakan rekaan yang sedikit berbeza. Selain pada skrin, modul kamera juga lebih dekat dengan trend terkini – iaitu modul segi empat. Warna baru yang diperkenalkan masih lagi dalam kategori hijau, iaitu Aquamarine Green dan Lunar Silver. Peranti OnePlus 8 Pro masih dikira sebagai peranti premium dan utama OnePlus tahun ini. OnePlus 8T adalah tawaran yang lebih seimbang antara OnePlus 8 dan OnePlus 8 Pro. Fungsi kamera juga banyak yang diperkenalkan dari perisian, seperti mod malam dan mod potret dalam video.

Peranti ini hadir dengan Oxygen OS 11 berasaskan Android 11. Ia mempunyai sokongan AOD, Zen Mode baharu, AOD dengan kerjasama Snapchat dan Bitmoji.

Di Malaysia OneOPlus 8T versi 8/128 GB dijual pada harga RM2,699 dan 12/256 GB pada harga RM2,999. Ia akan mula dijual pada 28 Oktober di Lazada dan hanya akan tersedia di pengedar rasmi bermula 31 Oktober ini. Bagi yang inginkan lebih penjimatan, pada 11 November ini OnePlus 8T set Pop Up akan dijual pada harga RM2,999 untuk 12/256 GB dengan berkas kerangka bumper Cyborg Cyan dan juga OnePlus Buds.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd