Sewaktu acara pengumuman Acer Global Press Conference yang berlangsung semalam, Acer turut memperkenalkan beberapa siri paparan skrin baru dibawah model Predator untuk tujuan gaming.
Pertama ialah siri paparan Predator XB3, iaitu siri paparan gaming Full HD dengan kadar semula tinggi yang juga menyokong beberapa jenis teknologi seperti NVIDIA G-SYNC, Acer VisionCare dan DisplayHDR.
Bermula dengan Predator XB273U, ia adalah sebuah paparan IPS bersaiz 27 inci dengan resolusi QHD (2560×1440) yang hadir dengan kadar segar semula 170Hz yang boleh dilewahjam.
Ia juga hadir dengan ciri-ciri lain seperti pengesahan Acer VisionCare dimana kecerahan dan suhu warna paparan boleh diubahsuai secara automatik bergantung kepada keadaan cahaya di bilik anda.
Paparan ini bukan sahaja sesuai untuk gamer, malah boleh digunakan oleh pereka profesional, ataupun mereka yang bekerja didalam industri perfileman. Paparan ini disahkan menyokong spektrum warna DCI-P3 setinggi 95 peratus, dan delta warna < 1 yang menjanjikan pengolahan warna yang cukup jitu sekali.
Untuk mereka yang lebih mementingkan kadar segar semula yang tertinggi berbanding dengan ciri-ciri lain, Predator XB253Q GW ialah untuk anda. Ia hadir dengan paparan IPS bersaiz 24.5 inci dengan resolusi Full HD, tetapi mempunyai kadar segar semula tertinggi berbanding dengan semua paparan-paparan baru ini pada kadar 280Hz.
Paparan ini khusus untuk mereka yang bermain permainan-permainan penembak FPS seperti Counter-Strike Global Offensive, Overwatch, Valorant dan sebagainya.
Jika anda baru menaiktaraf kebolehan grafik komputer anda, Predator XB323U GX ialah sebuah paparan IPS bersaiz 32 inci dengan resolusi QHD yang mempunyai kadar segar semula sepantas 270Hz dan lengah masa serendah 0.5ms (GTG).
Paparan skrin ini turut memfokuskan kepada mereka yang gemar menonton video di platform-platform penstriman popular, ataupun mereka yang bekerja di industri video dan filem. Sokongan gamut warna 99 peratus Adobe RGB bersama-sama dengan sokongan DisplayHDR600 dan pemprosesan imej 8-bit memastikan warna-warna yang ditunjuk di paparan adalah sejitu yang mungkin.
Untuk gamer yang inginkan sesuatu yang lebih padu, Predator X34 GS ialah untuk anda. Ia adalah sebuah paparan skrin melengkung ultra-lebar bersaiz 34 inci yang menggunakan panel IPS dengan resolusi UWQHD (3440×1440).
Ia dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri tambahan juga seperti kadar segar semula 180Hz dan menyokong teknologi paparan NVIDIA G-SYNC. Sokongan untuk VESA DisplayHDR400 dan juga sokongan 98 peratus spektrum warna DCI-P3.
Tidak kira anda seorang gamer ataupun pencipta kandungan, saiz paparan ultra-lebar ini pastinya sesuai jika anda seorang yang memerlukan sebuah paparan skrin besar dengan pelbagai ciri menarik.
Menurut Acer, paparan-paparan gaming ini akan tiba di pasaran EMEA (Europe, Middle East, Asia) untuk tanda harga dan tarikh berikut:
- Predator XB273U NV – 549 Euro ( RM2700) / Januari 2021
- Predator XB253Q GW – 449 Euro (RM2208) / Januari 2021
- Predator XB323U GX – 999 Euro (RM4913) / Disember 2020
- Predator X34 GS – 1099 Euro (RM5409) / Disember 2020