Cari @ Amanz

Siri Mate adalah siri peranti mercu kedua selepas siri P dilancarkan. Kebiasaannya ia memfokuskan kepada penggunaan yang lebih seimbang, dijana cip terbaru yang lebih berkuasa serta mempunyai rekaan yang unik yang pasti tular. Terkini, Huawei telah melancarkan siri Huawei Mate 40. Ia hadir dengan tiga variasi iaitu Mate 40, Mate 40 Pro dan juga Mate 40 Pro Plus.

Apakah yang menarik terhadap peranti ini dan apakah yang menjadikan peranti tarikan untuk pengguna menjadikan peranti ini sebagai peranti harian?

Huawei Mate 40 Pro+

Huawei Mate 40 Pro+ adalah yang paling premium di dalam siri ini. Ia juga adalah kali pertama siri Mate mempunyai variasi “plus”. Peranti ini menggunakan skrin bersaiz 6.76″ OLED dengan sisi melengkung . Ia dijana dengan cip pemprosesan terbaru dari Huawei HiSilicon Kirin 9000 dan dipadankan dengan memori 12/256 GB. Peranti ini menggunakan sistem penta-kamera iaitu gabungan dari 50MP (utama) + 20MP (sudut ultra lebar) + 12MP (telefoto 3x) + 8MP (telefoto periskop 10x) + sensor 3D TOF dan sensor laser autofokus. Manakala, kamera swafoto 13 MP pula dipadankan dengan pengimbas 3D bagi menyokong sistem nyahkunci wajah serta kawalan gestur tanpa sentuhan.

Bateri yang digunakan menyokong sistem pengecasan pantas 66W dan pengecasan nirwayar 50W serta turut mengekalkan pengecasan nirwayar berbalik. Sistem pembesar suara stereo akhirnya kembali, selepas menggunakan sistem bawah skrin melalui getaran sebelum ini. Menurut Huawei sistem bass kali ini 150 kali ganda lebih berkuasa berbanding versi terdahulu.

Warna yang ditawarkan adalah klasik hitam atau putih, tetapi bahannya adalah seramik.

Huawei Mate 40 Pro

Seterusnya adiknya, yang mana masih menggunakan cip yang sama iaitu Kirin 9000 dengan pilihan memori 8/256 GB. Peranti ini menggunakan skrin OLED FHD+ 90Hz bersaiz 6.76-inci. Skrin turut kekal rekaan melengkung 88 darjah seperti Mate 30 Pro sebelum ini. Kamera adalah 50MP (utama) + 20MP (sudut ultra lebar) + 12MP (telefoto) + sensor laser autofokus. Untuk kamera swafoto pula, ia menggunakan lensa 13MP dengan pengimbas 3D.

Bateri untuk peranti ini adalah 4,400mAh dengan sokongan pengecasan pantas 66W dan pengecasan nirwayar 50W. Ia turut kekal dengan sokongan pengecasan nirwayar berbalik. Untuk perlindungan, peranti ini menyokong IP68.

Terdapat lima warna yang ditawarkan, iaitu Hitan, Mystic Silver, Putih, Kuning dan juga Hijau.

Huawei Mate 40

Mate 40 adalah paling bongsu dengan banyak pengorbanan antara dua siri Pro di atas. Ia menggunakan skrin bersaiz 6.5″ dari panel OLED dengan pengimbas cap jari dalam skrin dan panel melengkung 68 darjah. Menariknya, ia menggunakan cip pemprosesan Kirin 9000E dan dipadankan dengan kuad-kamera 50MP (utama) + 16MP (sudut ultra lebar) + 8MP (telefoto) + sensor laser autofokus dan kamera swafoto 13MP tanpa pengimbas 3D dalam lubang skrin. RAM masih sama, tetapi storan dalaman adalah 128GB.

Bateri adalah lebih kecil, iaitu 4200mAh dan menyokong sistem pengecasan pantas 40W sahaja. Lain-lain adalah lebih kurang sama dengan Pro, begitu juga dengan pilihan warna.


Kesemua peranti ini menggunakan rekaan ikonik siri Mate. Tetapi kali ini lingkaran pada kamera menjadi bonjol dan tidak lagi rata. Bahan binaan adalah kaca dan aluminium. Ia adalah peranti yang premium dan mewah. Huawei turut memfokuskan kepada videografi kali ini, kerana menggunakan banyak sistem kecerdasan buatan pada mod-mod video. Contohnya sokongan penjejakan fokus, penstabilan yang lebih baik, templat mudah, mod malam dan banyak lagi. Kesemua peranti ini menjalankan EMUI 11 yang berasaskan sistem operasi Android 10.

Di Eropah Huawei Mate 40 Pro+ dijual pada harga €1399 (~RM6860) untuk verso 12/256 GB, Huawei Mate 40 Pro pula pada harga €1199 (~RM5880) untuk versi 8/256 GB dan akhir sekali Huawei Mate 40 pula pada harga €899 (~RM4408) untuk versi 8/128GB.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd