TikTok kini boleh dikatakan aplikasi video ringkas yang paling popular di dunia. Ia hadir dengan pelbagai jenis kandungan riadah dan ilmiah, tetapi kadang-kala, ada juga video yang akan dipadamkan oleh pihak pentadbir aplikasi tersebut.
Sebelum ini, apabila mereka memadamkan video-video, para pentadbir ini tidak memberi alasan mengapa video tersebut dipadamkan. Terkini, ByteDance, pembangun disebalik TikTok telah mengumumkan bahawa pengguna akan diberi sebab mengapa ia dilakukan.
Pengguna akan menerima notifikasi daripada TikTok dengan sebab mengapa ia dipadamkan melalui aplikasi tersebut, dan jika seseorang pengguna tersebut merasakan alasan yang diberi tidak munasabah, mereka boleh mempertikaikan dengan pihak pentadbir TikTok.
Ciri ini telahpun diuji selama beberapa bulan melalui pengguna-pengguna terpilih, dan kini ia nampaknya akan tiba untuk para pengguna lain.