Cari @ Amanz

Konsep kenderaan terbang bukanlah sesuatu yang baru. Siri filem Back To The Future telah menengahkan konsep-konsep futuristik sejak tahun 1985 dan diikuti pelbagai siri fiksyen yang lain, dimana banyak daripadanya boleh dikatakan telah ataupun hampir menjadi realiti.

Menjelang tahun 2021, konsep kenderaan terbang ini dari angan-angan nampaknya bakal menjadi realiti, walaupun ianya bukanlah seperti apa yang dibayangkan.

Sejak beberapa tahun lalu, ia dapat dilihat bahawa terdapat pelbagai syarikat di sekitar dunia sedang cuba membangunkan kenderaan terbang yang boleh digunakan untuk membawa penumpang dan juga kargo.

Salah satu nama syarikat yang kami sering laporkan di Amanz ialah Volocopter. Ia adalah sebuah syarikat teknologi daripada negara Jerman yang terlibat dalam pembangunan kenderaan dan juga infrastruktur kenderaan terbang di beberapa bandar besar seperti Dubai dan Singapura.

Apa yang menarik mengenai perkembangan syarikat ini ialah bukan sahaja kebolehannya untuk membangunkan kenderaan terbang ini, tetapi juga keinginannya untuk bekerjasama dengan institusi tempatan untuk membina infrastruktur dan polisi yang membolehkan teknologi ini diterapkan kepada masyarakat tempatan dengan cepat dan mudah.

Sebagai contoh, Volocopter kini bekerjasama dengan kerajaan Singapura bukan sahaja untuk menguji sistem “teksi terbang” mereka, tetapi juga untuk membangunkan polisi yang membolehkan teksi-teksi ini beroperasi di Singapura secara selamat.

Bukan itu sahaja, syarikat seru-pandu Grab juga dilihat berminat untuk bekerjasama dengan Volocopter untuk membangunkan sistem teksi udara di negara republik tersebut.

Di Malaysia, Aerodyne Group, sebuah syarikat pembangun dron tempatan dilihat mempunyai aspirasi untuk membangunkan kenderaan terbang mereka sendiri.

Malah, pada awal tahun lepas, Menteri Pembangunan dan Usahawan pada waktu tersebut mengumumkan bahawa Aerodyne sedang membina sebuah prototaip kereta terbang yang sepatutnya diuji pada penghujung tahun yang lalu.

Sayangnya sejak berita tersebut dilaporkan, tidak ada sebarang berita mengenai syarikat tersebut, cuma ia memfokuskan kepada pembangunan dron-dron perindustrian.

Bercakap mengenai dron perindustrian, kenderaan terbang yang memfokuskan kepada penghantaran barang nampaknya salah satu impian yang lebih cepat untuk direalisasikan.

Contoh terbaik penggunaan dron secara besar-besaran adalah seperti Amazon yang telah mula menguji penggunaan dron penghantaran barang yang boleh membawa bungkusan seberat 2.3kg dan boleh terbang sejauh 23.4km secara terus.

Amazon juga dikatakan melihat kemungkinan untuk menggunakan sebuah kapal terbang belon (blimp) yang boleh dijadikan sebagai gudang di udara, dan dron-dron boleh digunakan untuk menghantar barang terus ke rumah pengguna.

Satu lagi contoh menarik ialah syarikat logistik dan penghantaran barang dari Amerika Syarikat, MissionGO yang baru-baru ini telah menguji penghantaran organ menggunakan dron dari sebuah lapangan terbang Las Vegas ke sebuah hospital, dan dikatakan ialah penghantaran organ menggunakan dron terpanjang di dunia.

Dron

Di arena tempatan, kami juga telah melaporkan pelbagai kegunaan dron oleh pihak kerajaan dalam menangani pelbagai isu, seperti pemantauan jalan raya sewaktu PKP, pembasmian kuman di sekitar kawasan Kuala Lumpur dan juga keputusan kerajaan Selangor untuk menggunakan dron untuk memantau kawasan sungai untuk memastikan kawasan sungai tidak lagi dibelenggu isu pencemaran.

Melalui National Technology and Innovation Sandbox, kerajaan pusat juga telah memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk membangunkan projek-projek inovatif seperti pembangunan kenderaan swapandu dan penggunaan dron secara besar-besaran.

Masa hadapan kenderaan terbang dan penggunaan dron secara tempatan dan global nampaknya semakin pesat pada waktu kita menghampiri 2021. Tidak mengejutkan jika kita melihat syarikat-syarikat seperti Proton, Perodua, Grab, Pos Malaysia dan sebagainya mula mengembangkan dan menggunakan teknologi ini seawal tahun hadapan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd