Cari @ Amanz

Sony, Bose dan Jabra adalah tiga nama besar dalam dunia fon kepala tempatan. Diantara ketiga-tiga ini, Sony dan Bose adalah dua dengan jumlah pengguna paling tinggi kerana menawarkan fon kepala dengan sistem pembatalan hingar aktif (ANC) dengan rekaan yang menarik. Seperti permainan video Street Fighter, Huawei FreeBuds Studio muncul bagai “A challenger has arrived” untuk memberikan persaingan kepada raja fon kepala nirwayar semasa.

Adakah kehadiran mereka tepat pada masanya atau sudah terlalu lewat? Ini ialah pandang pertama kami untuk Huawei FreeBuds Studio yang akan ditawarkan di Malaysia pada 30 Oktober hadapan

Spesifikasi Dan Rekaan

Huawei FreeBuds Studio
JenisFon Kepala
Mikrofon8
Bateri410 mAH (Sehingga 24 jam)
PengecasanUSB-C
Cip AudioKirin A1
CODECL2HC 
Sokongan AplikasiAndroid
Sokongan pembantu mayaAda
Pad sesentuhYa
Kemampuan kalis airTiada
Harga Jualan RM 1199

Kita mulakan dengan rekaannya mirip dengan Bose 700 yang dilancarkan tahun lalu. Dua penutup telinga disambungkan kepada dua pendakap yang diperbuat daripada logam setebal 7mm. Kerana ia diperbuat daripada logam, ia terasa lebih teguh dan tahan lasak berbanding pendakap plastik yang digunakan pada siri Sony XM. Malah ia kelihatan lebih bergaya dari fon kepala Sony kerana kombinasi binaan logam dan kulit ini.

Pendakap besi ini boleh dilaraskan mengikut saiz kepala pemakai. Kerana laras bergerak ini memasuki bahagian angkup telinga, tiada masalah rambut atau kulit muka terkepit ketika ianya dipakai. Oleh itu FreeBuds Studio kelihatan lebih bergaya berbanding kebanyakan fon kepala lain di pasaran.

Kedua-dua penutup telinga boleh diputar 90 darjah untuk diletakkan di dalam kotak simpanan yang diperbuat daripada bahan plastik yang keras. Saiz bekas simpanan ini adalah sama seperti bekas simpanan Sony XM4. Tiada masalah untuk mencari ruang untuk meletakkannya di dalam beg galas.

Satu-satunya aksesori yang diberikan dengan pembelian ialah seutas kabel USB-A ke USB-C untuk mengecas. Seperti Apple, Huawei tidak memberikan sebuah kepala pengecas dengan setiap pembelian. Aneh sekali kabel berwarna putih diberikan walaupun fon kepala yang diulas berwarna hitam.

Bahagian penutup telinganya pula diperbuat daripada bahan plastik dengan kemasan yang pusam manakala bahagian span lapik telinga dari bahan kulit buatan manusia. Pemakaian di kepala adalah selesa dengan tekanan dapat dirasai di bawah telinga dan atas kepala. Kami merasakan sebuah fon telinga sepatutnya menyebarkan tekanan pada bahagian pelapik span bagi memastikan keselesaan pemakaian untuk masa yang panjang.

Oleh sebab itu tahap keselesaan FreeBuds Studio adalah tidak sebaik Sony XM4 yang kami rasakan adalah yang paling selesa pernah kami gunakan. Kekuatan cengkaman pendakap FreeBuds Studio juga lebih kuat berbanding XM4. Ini boleh dilihat dari dua sudut. Dari sudut positif ia memastikan fon kepala sentiasa kemas di kepala. Dari sudut negatif ia terlalu ketat untuk pemakaian masa panjang.

Pada bahagian kanan penutup telinga terdapat dua butang – satu untuk menghidupkan fon telinga dan satu lagi untuk mengawal tambatan bluetooth. Sebuah lampu LED kecil diletakkan di antara dua butang ini untuk menunjukkan bukan sahaja tahap bateri tetapi juga mod tambatan (apabila sedang cuba menambat ia akan berkelip-kelip).

Di bahagian bawahnya pula terdapat satu port USB-C untuk mengecas. Adalah sedikit mengecewakan kerana FreeBuds Studio tidak memberikan sokongan kabel 3.5mm untuk sambungan aksesori secara berwayar. Menambah lagi kekecewaan ialah sambungan USB-C – USB-C ke telefon pintar juga tidak disokong. Jika dilakukan juga, peranti tidak akan mengenali FreeBuds Studio sebagai fon kepala tetapi terus membekalkan kuasa untuk mengecas baterinya secara automatik.

Ini kami rasakan satu kekurangan paling ketara FreeBuds Studio jika mahu bersaing dengan Sony dan Bose. Kedua-dua pesaing ini menyertakan bukan sahaja boleh digunakan secara berwayar tetapi menyertakan penyesuai sistem audio kapal terbang. Tambahan lagi ia juga menyelesaikan masalah sela masa ketika memainkan permua dan sambungan ke konsol permainan video. Mengapa ia tidak disertakan tidak pula kami ketahui kerana ia adalah ciri standard fon kepala nirwayar sejak sekian lama.

Pada penutup telinga kanan juga terdapat pad sesentuh untuk mengawal bukan sahaja muzik tetapi boleh juga mengubah tahap kelantangan audio dan menyeru pembantu maya.

Bergerak ke penutup telinga kiri, terdapat butang untuk ANC. Ini digunakan untuk mengaktifkan mod ANC, mematikan ANC dan memilih mod tembus yang membenarkan audio luar seperti pengumuman di lapangan terbang didengari.

Penggunaan Dan Perisian

Untuk mengoptimasikan penggunaan, aplikasi Huawei AI Life yang boleh dimuat turun menerusi App Gallery dan Play Store. Aplikasi untuk iOS masih belum diterbitkan semasa artikel ini ditulis.


Seperti yang kami alami ketika mengulas FreeBuds Pro tempoh hari, versi terkini Huawei AI Life di Play Store tidak mampu mengesan FreeBuds Studio. Kami terpaksa memindahkan APK yang kami muat turun dari App Gallery menggunakan P30 Pro sebelum memindahkannya ke Galaxy Note20 Ultra. Proses menggunakan FreeBuds Studio nyata lebih mudah jika anda memiliki peranti Huawei. Pada peranti Android, proses memuat turun aplikasi sokongan ini adalah melecehkan.

Fon telinga masih boleh digunakan tanpa menggunakan aplikasi tetapi tidak kami sarankan. Aplikasi adalah penting untuk menukar tetapan kawalan gestur, melihat mod ANC, tahap pengecasan bateri, mengaktifkan ANC dan melakukan proses kemas kini perisian.

Kesimpulan

Dalam penggunaan singkat kami mendapati FreeBuds Studio adalah permulaan sulung yang menarik dari Huawei untuk memasarkan fon kepala. Sistem ANC yang ditawarkan berfungsi dengan baik menapis hingar di pejabat dan kereta. Sementara itu sistem kawalan sesentuh pada penutup telinga kanan adalah sebaik sistem yang digunakan pada fon kepala pesaing mereka.

Kemasan fon kepala juga terasa premium dan paling penting sekala adalah amat kemas terutamanya pada bahagian tangkai boleh laras. Proses tambatan juga pantas tidak mengira sistem operasi yang kami gunakan tetapi memang diakui lebih pantas pada peranti Huawei.

Kerisauan awal kami hanya terletak pada keselesaan pemakaian untuk jangka masa yang lama dan juga tiada sokongan untuk digunakan secara berwayar. Nantikan ulasan penuh kami untuk Huawei FreeBuds Studio dalam masa beberapa hari sahaja lagi. Di Malaysia fon kepala ini akan dijual pada 30 Oktober kelak pada harga RM1199 sepasang.

Pro

  • Rekaan yang kemas dan premium.
  • Sokongan sistem pembatalan hingar aktif (ANC)
  • Menjeda secara automatik apabila ditanggalkan dari kepala.
  • Aplikasi yang membolehkan pelbagai tetapan diubah mengikut keperluan.

Kontra

  • Angkup kepala yang agak ketat memberikan tekanan pada telinga.
  • Aplikasi Android tidak dikemaskini. Tiada untuk iOS.
  • Tiada sokongan untuk digunakan secara berwayar.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd