Cari @ Amanz

Google Pixel 5 adalah peranti mercu terbaru daripada Google. Tetapi, mercu hanya pada nama sahaja kerana dalam peranti ini adalah berasaskan peranti kelas pertengahan. Ini menimbulkan persoalan, kenapa Google membuat keputusan sebegini? Adakah banyak pengorbanannya? Paling penting adakah peranti ini berbaloi untuk dimiliki?

Peranti ini tiba ke Makmal Amanz baru-baru ini dan kami dapat menggunakan peranti ini untuk menguji prestasi, kamera serta mencuba pengalaman menggunakan peranti ini bagaimana. Ini adalah artikel pandang pertama buta Google Pixel 5.


Spesifikasi Dan Rekaan

Google Pixel 5
Skrin6.0″ OLED, FHD+,
HDR10+, 90Hz boleh suai.
PemprosesSnapdragon 765G (7nm)
Cip1 x 2.4 GHz Kryo 475 Prime
1 x 2.2 GHz Kryo 475 Gold
6 x 1.8 GHz Kryo 475 Silver
Cip GrafikAdreno 620
RAM8 Gigabyte
Muatan Dalaman128GB UFS 2.1
Kamera Utama12.2MP (utama) + 6MP (sudut ultra lebar)
f/1.7 + f/2.2
Kamera Depan8 Megapixel f/2.0
Bateri4080 mAh
(Pengecasan pantas 18W)
SIM/TelefoniDwi SIM Nano (fizikal + eSIM)
NFCYa
Infra MerahTiada
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanCap jari fizikal
Harga JualanMencapai RM3599

Google Pixel 5 buat pertama kalinya menggunakan cip pemprosesan kelas pertengahan dalam barisan peranti mercu. Ia juga yang pertama hadir dengan memori 8GB RAM dan storan bermula dari 128GB. Menariknya, saiz bateri juga kini 4080mAh yang mana adalah terbesar dalam sejaran Google Pixel. Alasan Google dalam penggunaan Snapdragon 765G adalah untuk menjimatkan kos sambil masih memberikan pengalaman penggunaan seakan peranti mercu.

Tetapi pengorbanan yang Google lakukan bukan di situ sahaja, dari segi bahan binaan, cip tambahan atau sensor lain turut dibuang. Pada Pixel 5, tiada lagi sensor Soli dengan sokongan Motion Sense dan tiada lagi cip Pixel Neural Core untuk pasca proses imej yang lebih pantas. Panel belakang pula kini adalah kerangka tunggal dari bahan kitar semula. Ia juga dikemaskan dengan cat tebal seakan plastik dengan kemasan seakan kadbod.

Sukar untuk beritahu sama ada ia adalah bahan binaan premium ataupun tidak. Kerana ini pertama kali kami memegang peranti dengan kemasan seperti ini. Ia pelik, ia selesa dan rasa lain. Ia hanya menimbulkan persoalan, adakah ia akan tahan lama? Rekaan skrin juga kini berbeza, yang mana menggunakan rekaan mirip Pixel 4a – iaitu bezel nipis dan sekata serta jenis skrin berlubang. Ini akan memberikan pengalaman menonton yang lebih imersif.

Keliling peranti masih lagi mirip dengan rekaan Pixel-Pixel sebelum ini. Jadi ia tidak rasa asing dan mudah untuk dikenali. Modul kamera juga kelihatan sama lagi dengan Pixel 4, cuma bukan lagi lensa telefoto tetapi lensa sudut ultra lebar. Butang kuasa berwarna turut dikekalkan, kerana ini sudah pun menjadi identiti Pixel sejak Pixel 2 XL lagi.

Pengalaman Penggunaan

Sebaik sahaja peranti ini dihidupkan, kami terus pasang beberapa aplikasi dan permua. Kemudian kami jalankan semua aplikasi serenta dan menguji menggunakan Don’t Kill My App untuk ketahui bagaimana peranti ini beroperasi dengan jika banyak aplikasi berjalan di latar. Skor yang kami terima adalah mengejutkan iaitu 100%. Ini adalah skor yang baik, nampaknya penggunaan memori 8GB RAM sangatlah baik. Syukur, akhirnya Google sedari yang mereka bukannya iPhone dan menjalankan iOS untuk menggunakan memori yang rendah.

Kami turut menjalankan ujian AnTuTu dan Geekbench 5. Skor adalah seperti yang kami jangkan untuk sebuah peranti yang dijana cip Snapdragon 765G. Kami bandingkan dengan OnePlus Nord, sayang sekali skor daripada peranti ini agak rendah. Ini mungkin kerana pengoptimasian Android 11 masih tidak matang seakan Android 10 yang sudah lama di pasaran. AnTuTu menerima skor 298,871 dan Geekbench pula adalah 589 untuk satu-teras dan 1,596 untuk multi-teras.

Prestasi bermain permua pula, setakat yang kami uji adalah bermain Asphalt 9 sahaja. Ia baik-baik sahaja, tetapi jelas terasa yang ia adalah prestasi untuk sebuah peranti kelas pertengahan. Jadi kami cuba menggunakan peranti ini untuk kegunaan biasa, seperti melayari web, menstrim muzik, menstrim video dan menerokai peranti ini dari setiap aplikasi terbina sehinggalah bermain dengan tetapan. Apa yang boleh kami katakan adalah, peranti ini tidak akan ada masalah jika digunakan sebagai peranti produktiviti atau untuk kegunaan ringan.

Sistem operasi adalah Android 11. Ia adalah Android asli, jadi segala apa yang Google umumkan boleh digunakan pada peranti ini. Kecuali fungsi-fungsi Google Assistant yang terhad di beberapa negara sahaja. Menggunakan peranti ini dalam masa yang singkat sudah rasa selesa. Ia mudah digunakan dan tiada masalah lengah masa langsung. Kadar segar semula boleh suai 90Hz memang benar-benar baik. Ia lancar, pantas dan memuaskan.

Skrin 6.0-inci pada peranti ini adalah sangat baik. Ia kecil, selesa di tangan dan mudah untuk dikendalikan. Walaupun tidak semua aplikasi boleh digunakan dengan satu tangan, tetapi secara majoritinya, ia seronok dan sekali lagi saya ulang – selesa. Warna skrin juga cukup cantik, terang dan mengasyikkan apabila menonton video HDR 60FPS. Pembesar suara stereo pula adalah mengecewakan, kerana kekisi pembesar suara hanya terdapat di bawah sahaja. Di bahagian atas ia menggunakan getaran seakan peranti Huawei sebelum ini.

Pada bahagian bateri agak sukar, kerana kami hanya ada masa 1 hari sahaja dengan peranti ini. Tetapi, semasa menerima peranti ini ia mempunyai bateri 70% dan hanya pada hari esoknya ia menjadi 10%. Ini memberi petanda dan harapan yang Pixel 5 mungkin adalah peranti Pixel pertama dengan ketahanan bateri yang baik sekali.

Kamera

Kamera pada Pixel 5, sudah semestinya antara yang teragung. Pixel dan kualiti kamera yang hebat berpisah tiada. Walaupun menggunakan lensa yang kuno, tetapi perisian Google menjadikan peranti ini mempunyai kemampuan yang cukup hebat dan sesuai untuk penggunaan harian pengguna. Ini bermakna, kamera yang Google sediakan adalah kamera yang pasti pengguna akan gunakan. Ia tiada lensa gimik, tetapi masih mampu menawarkan hasil yang menakjubkan.

Agak pelik, kerana semasa Pixel 4 Google banggakan mereka mula menawarkan lensa telefoto. Mereka turut mendakwa yang lensa telefoto adalah lebih penting. Google kemudiannya menawarkan fungsi zum Super Res Zoom yang dioptimasikan dengan perisian. Pada Pixel 5 lensa ini dibuang dan digantikan dengan lensa sudut ultra lebar. Ya, lensa ini memang menarik. Tetapi bagaimana jika pengguna ingin zum? Google kini menawarkan kemampuan zum mereka melalui perisian sahaja dan boleh menzum sejauh 7 kali secara digital.

Fungsi fotografi yang lain adalah mod potret yang telah ditambah baik. Mod malam mereka iaitu Night Sight kini menyokong mod potret. Tetapi, ia hanya akan diaktifkan secara automatik sahaja apabila ia mengesan yang suasana adalah gelap. Selain itu, mod potret turut menyokong kesan pencahayaan Portrait Lighting seakan peranti pesaing. Sekali lagi, Google lakukannya secara berbeza. Mod ini hanya boleh digunakan selepas mod potret biasa ditangkap. Pengguna hanya boleh menggunakannya melalui aplikasi Google Photos terkini dan mod ini aktif khusus pada peranti Pixel sahaja. Kualiti adalah seperti yang dijangka, sehingga hari ini masih tiada peranti mampu menghasilkan mod potret yang secantik dan kemas seperti peranti Pixel.

Mod fotografi lain seperti rakaman sudut ultra lebar, sedikit mengecewakan kerana ia tidak mempunyai pandangan yang cukup lebar seperti peranti pesaing. Kemudian kesan herotan pada hasil gambar ini juga agak teruk. Mod zum pula masih seperti peranti Pixel 4. Ia ok sahaja dan tidak begitu hebat. Kekuatan Pixel 5 setakat ini hanyalah pada mod potret sahaja.

Pixel 5 juga buat pertama kalinya Google memfokuskan kepada videografi. Google menawarkan kemampuan rakaman resolusi tinggi 4K 60FPS. Resolusi ini tidak boleh dipilih, kami rasakan bergantung kepada mod rakaman – ia akan bertukar-tukar secara automatik. Mod rakaman video yang Google fokuskan adalah pada penstabilan. Ia kini mempunyai empat pilihan iaitu Standard, Locked, Active dan Cinematic Pan.

Mod rakaman video ini menjadikan rakaman menggunakan tangan sahaja sudah mimik seakan menggunakan gimbal. Kami agak terkejut dengan kemampuan ini. Kami dapat rasakan kelak, Google pula boleh menjadi peranti dengan kemampuan videografi terbaik. Ya, mungkin tidak akan menerima skor DXOMark yang tinggi. Tetapi kamera yang Google tawarkan adalah yang asas dan pasti akan digunakan oleh pengguna.

Mod rakaman video yang lain adalah, ia kini mempunyai audio yang baik. Masih lagi ada hingar, tetapi dengan Audio Zoom kualiti audio adalah baik sahaja dan boleh diterima. Beberapa mod ini turut akan diedarkan kepada pengguna Pixel lain. Harapnya kemaksini GCam kelak ia akan membenarkan pengguna memasang mod GCam baharu ini ke peranti Android lain.

Kesimpulan

Google Pixel 5 bukannya dipasarkan di Malaysia. Jadi apabila ditukar mata wang ke Malaysia berserta kos import, harga jualan mencapai RM3599. Paling murah yang kami temui adalah RM3300 tanpa jaminan. Ini menjadikan peranti ini sangat mahal, kerana spesifikasinya adalah peranti kelas pertengahan. Jadi buat pertama kalinya, amat sukar untuk kami sarankan pengguna membeli peranti ini.

Di Malaysia peranti mercu mampu milik seperti Samsung Galaxy S20 FE hanya RM3399, OnePlus 8T serendah RM2,699 dan Xiaomi Mi 10T Pro pula adalah RM1,999. Ini menjadikan Pixel 5 tidak berbaloi untuk dibeli. Menjawab persoalan tadi;

Google membuat keputusan sebegini?

Menurut Google, mereka masih ingin menawarkan peranti mercu Pixel, tetapi ingin menjual pada harga yang lebih murah.

Hemat kami, Google sedari yang peranti kelas pertengahan jualannya laris. Ia terbukti sejak Pixel 3a lagi. Jadi dengan membuat keputusan ini mereka mungkin mengharapkan “peranti mercu” mereka boleh laris.

Adakah banyak pengorbanannya?

Tiada lagi Soli dan Motion Sense, tiada lagi Pixel Neural Core, tiada lagi binaan kaca, tidak lagi rasa seperti sebuah peranti mercu.

Paling penting adakah peranti ini berbaloi untuk dimiliki?

Di Malaysia, tidak. Di pasaran luar seperti Amerika Syarikat, penawaran peranti mercu mampu milik atau peranti kelas pertengahan yang bagus adalah terhad. Jadi tidak terkejut jika orang ramai akan memilih untuk memiliki peranti ini.

Jika anda adalah peminat setia Pixel dan inginkan peranti yang menjalankan Android asli sebenar – ini adalah perantinya. Tetapi nantikan sahaja Pixel 4a 5G yang mana kami jangkakan set import akan dijual pada harga RM2,699. Itu pun masih mahal dan ada banyak lagi pengorbanan. Tetapi dari berbelanja lebih RM1000 lagi? Buat keputusan yang bijak, fikir dahulu sebelum beli.


Pro

  • Android asli sebenar tanpa sebarang aplikasi terpasang dan kemaskini pantas.
  • Kamera Pixel yang masih lagi cantik dan menakjubkan.
  • Skrin kadar segar semula boleh suai.

Kontra

  • Harga yang terlampau mahal.
  • Tidak menggunakan cip Snapdragon 865.
  • Terlampau banyak pengorbanan.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd