Carian
Pengguna Oculus Yang Melog Masuk Kedalam Lebih Dari Satu Peranti Akan Dikunci
October 26, 2020 Nazrin

Berikutan laporan kami sebelum ini dimana pelanggan yang membeli peranti realiti maya Oculus Rift telah melihat akaun Facebook mereka dikunci, terdapat beberapa laporan baru yang mengatakan bahawa pengguna yang menggunakan akaun Facebook mereka untuk melog masuk kedalam lebih dari satu peranti Oculus pada masa yang sama akan mengalami nasib yang sama.

Windows Central melaporkan bahawa sejak penyeragaman akaun Oculus dan Facebook, ramai pengguna yang mengalami isu dimana akaun mereka telah dikunci secara tetap kerana ia dikatakan melanggar terma penggunaan Facebook.

Ini telah disahkan oleh pihak perkhidmatan pelanggan Oculus sendiri yang mengatakan bahawa menggunakan lebih dari satu peranti Oculus sekaligus melanggar terma tersebut.

Ini merunsingkan pengguna kerana Oculus Quest mempunyai ciri multi-pemain yang membolehkan lebih dari satu pengguna bermain bersama-sama didalam rangkaian yang sama,

Walaupun begitu, ia juga telah dilaporkan bahawa Facebook kini sedang membangunkan satu ciri baru dimana lebih daripada satu akaun Facebook yang boleh digunakan pada peranti Oculus.

Buat masa ini ia tidak diketahui lagi bila ciri ini akan tiba, jadi ia lebih selamat jika hanya satu akaun sahaja yang dilog masuk ke peranti Oculus buat masa ini.

Komen