OnePlus seperti biasa, setiap tahun akan hadir dengan peranti mercu dalam siri “T”. Ia bermula pada taun 2016 dengan OnePlus 3 dan beberapa kemudiannya OnePlus 3T. Menurut OnePlus, “T” adalah lebih besar dari “S” dan memberi petanda peranti mereka lebih berkuasa. Pada 2016 sehingga 2018 hanya ada satu sahaja siri “T”, 3T, 5T dan 6T. Tahun 2019 OnePlus hadir dengan strategi baru dengan memperkenalkan 7T Pro.
Tahun ini, OnePlus kembali ke masa silam dengan hanya melancarkan satu peranti dalam siri ini iaitu OnePlus 8T. Peranti ini lebih murah dari OnePlus 8, spesifikasi juga lebih sama tetapi dengan rekaan berbeza dan terdapat beberapa pengurangan bersama-sama dengan penambahbaikan. Kami telah menggunakan peranti ini beberapa minggu dan ini adalah artikel ulasan kami. Untuk ketahui sama ada peranti ini menarik atau berbaloi untuk dibeli, silalah baca sehingga tamat.
Spesifikasi Dan Rekaan
OnePlus 8T | |
---|---|
Skrin | 6.55″ Fluid AMOLED, FHD+, HDR10+, 120Hz |
Pemproses | Snapdragon 865 (7nm) |
Cip | 1 x 2.84 GHz Kryo 585 3 x 2.42 GHz Kryo 585 4 x 1.8 GHz Kryo 585 |
Cip Grafik | Adreno 650 |
RAM | 8/12 GB |
Muatan Dalaman | 128/256 GB UFS 3.1 |
Kamera Utama | 48+16+5+2 MP f/1.7+f/2.2+f/2.4+f/2.4 |
Kamera Depan | 16 Megapixel f/2.4 |
Bateri | 4500 mAh (Warp Charge 65W) |
SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano |
NFC | Ya |
Infra Merah | Tiada |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Cap jari terbina dalam skrin |
Harga Jualan | Dari RM2,699 |
Jujur kami katakan, agak keliru apabila OnePlus telah melancarkan peranti ini. Ia berada di tengah-tengah antara premium dan murah. Peranti ini menggunakan rekaan yang tidak pernah lagi OnePlus gunakan sebelum ini. Sekali imbas jika lihat pada panel belakang, ia kelihatan seperti peranti kelas pertengahan yang bercampur dengan peranti OnePlus. Rekaan ikonik OnePlus sejak OnePlus 7 Pro masih ada, cuma rekaan ini tidak istimewa dan rasa bosan. Modul kamera kelihatan seperti peranti Samsung Galaxy A sahaja.
Di hadapan, keunikan peranti ini mula jelas kelihatan. OnePlus menggunakan skrin berlubang dan juga bezel nipis. Turut kelihatan earpiece di bahagian bezel atas. Bukan itu sahaja, skrin juga kini rata dan tiada lagi lengkungan seperti yang digunakan sejak OnePlus 7 Pro. Boleh dikatakan, mereka mengekalkan konsep OnePlus 7T. Di atas tiada apa-apa kecuali lubang mikrofon, bawah adalah slot kad SIM, USB-C dan kekisi pembesar suara. Sisi kiri hanya butang aras suara dan sisi kanan adalah butang kuasa dan juga butang notifikasi OnePlus yang terkenal.
Apa yang mengecewakan pada peranti ini adalah ia tidak dijana dengan cip Snapdragon 865+, sebaliknya hanya Snapdragon 865 biasa sahaja. Skrin 120Hz sudah baik, tetapi tidak menyokong mod boleh suai. Bateri 4,500mAh adalah cukup besar dengan pengecasan pantas serba baharu 65W. Kamera masih lagi yang sama pada OnePlus 7T iaitu 48MP dan ditambah dengan beberapa lensa lain.
Pengalaman Penggunaan
OnePlus kali ini memfokuskan kepada perisian. Lebih-lebih lagi dengan Oxygen OS 11 berasaskan Android 11. OnePlus sekali lagi kami sebutkan, sudah tiada identiti sendiri yang memberikan satu perasaan “WOW” apabila menggunakan peranti mereka. Oxygen OS sudah tidak seperti yang ramai kenali dahulu. Ia sudah lari dari elemen Android asli. Sebaliknya seakan antaramuka klise peranti dari China tetapi dengan tema Android asli.
Fungsi dan ciri Oxygen OS itu masih kekal. Pengguna setia OnePlus akan mudah menggunakan Oxygen OS baharu ini. Cuma bagi yang benar-benar meminati Android asli, sayang sekali OnePlus bukan lagi jenama tersebut. Kami cuba menggunakan Vivo V20 dan Vivo X50, bayangkan peranti dengan Funtouch OS mempunyai lebih banyak persamaan dengan Android asli.
Walaupun begitu, OnePlus berusaha keras menjadikan Oxygen OS mereka seakan Android asli. Contohnya menggunakan aplikasi panggilan telefon, pemesejan Google dan juga Google Discover pada pelancar. Kemudian menawarkan kemaskini yang pantas. Kami hanya rasa seronok sebentar sahaja ketika menggunakan peranti ini dan terasa bosan selepas hampir mencapai satu minggu.
Sungguhpun begitu, ia masih lagi sebuah peranti yang baik. Ia mengekalkan penggunaan skrin yang cemerlang. Kualiti premium dan setanding peranti mercu yang lebih mahal. Skrin 120Hz, memastikan tatalan lebih lancar dan pantas. Peralihan animasi kelihatan lebih laju dan selesa. Walaupun bukan jenis boleh suai, ia masih memberikan pengalaman yang positif. Kebiasaannya, boleh suai adalah untuk menjimatkan bateri dan akan bertukar-tukar dari kadar segar semula rendah sehingga tinggi.
Kualiti skrin juga cantik, ia cukup terang dan memberikan warna yang cerah dan cantik lagi tajam. Menonton video di Netflix, YouTube dengan kualiti FHD HDR 60FPS sungguh memuaskan. Dengan penggunaan skrin rata, ia lebih seronok dan kandungan tidak terganggu.
Prestasi penggunaan peranti juga adalah seperti yang dijangka. Snapdragon 865 tambah skrin 120Hz adalah padan! Bermain permua rasa lancar, tiada masalah bermain pada tetapan yang tinggi, serta pasti akan memberikan pengalaman yang mengasyikkan. Menggunakan peranti ini untuk tujuan produktiviti juga tiada masalah. Multi tugasan berjalan dengan baik dan mudah untuk dikendalikan. Langsung tiada masalah memanas, lengah masa atau peranti menjadi tergendala. Ia mempunyai prestasi yang sepatutnya semua peranti mercu ada.
Skor Tanda Aras
Skor tanda aras juga hebat belaka. AnTuTu memperoleh skor 583,788. Ia adalah skor yang cukup tinggi dan baik sekali untuk peranti dengan spesifikasi begini. Skor Don’t Kill My App pula adalah 99% yang mana membuktikan tiada masalah dengan aplikasi yang berjalan di latar. Akhir sekali skor Geekbench 5 839 untuk satu teras dan 3118 untuk multi-teras. Juga merupakan skor yang cemerlang.
Kamera
Kamera pada peranti ini tiada sebarang keistimewaan yang membuatkan ia adalah sebuah peranti dengan kamera yang baik. Apa yang OnePlus tawarkan hanyalah kemaskini perisian yang ketara. Ini kerana hasil gambarnya adalah seperti mana yang anda lihat dalam OnePlus 7T. Ada sedikit kemaskini dari segi mod malam dan mod potret. Tetapi itu sahaja. Sejak dulu lagi, peranti OnePlus mempunyai kemampuan kamera yang baik-baik sahaja dan kemampuan video yang dilihat hanya bagus dari segi OIS dan EIS tetapi tiada perubahan yang benar-benar ketara.
Kami mengambil beberapa sampel gambar dan melihat hasilnya adalah baik sahaja. Bukan kualitinya yang mengecewakan, sebaliknya tiada perubahan yang menjadikan kamera peranti ini istimewa membuatkan kami rasa kecewa. Mod malam antara hasil imej yang kami gemar lihat. Ia terang, cuba dengan baik untuk memelihara butiran serta cuba mengekalkan warna yang seakan natural.
Hasil gambar potret dilihat semakin kemas, tidak kira dalam keadaan gelap atau terang. Ia memberikan hasil yang memuaskan dan rasa gembira sahaja. Tetapi rakaman sudut ultra lebar sudah rasa bosan. Sejak 7 Pro lagi begitu sahajalah hasilnya. Pada hemat kami OnePlus perlu baiki kesan herotan agar menjadi lebih kemas. Warna sudah ok, tetapi herotan sahaja bermasalah sedikit.
Gambar makro dan rakaman biasa kekal memuaskan. Tetapi disebabkan harga jualan peranti ini tidak begitu mahal. Apa yang anda beli adalah apa yang anda dapat. Kamera OnePlus 7T yang dinaiktaraf dari segi perisian agar sesuai digunakan di tahun 2020. Jika sekadar perisian sahaja, kami yakin gambar dengan GCam versi modifikasi lebih baik.
Imej manusia dilihat lebih jelas, cantik, terang dan butiran memang hebat sekali. Tidak kira swafoto atau fotografi biasa, ia tidak akan membuatkan anda rasa kesal. Mungkin OnePlus sedar yang kamera mereka sudah secukup rasa, jadi mereka hanya tambah rencah sedikit sahaja bagi ia tahan lebih lama.
Audio
OnePlus 8T menggunakan pembesar suara stereo. Ia cukup kuat, tetapi tidak cukup menarik. Walaupun ia dioptimasikan dengan Dolby Atmos, ia masih tidak dapat menandingi pembesar suara stereo seperti yang ada pada peranti Samsung. Dengan ketiaaan port bicu audio, pengguna terpaksa menggunakan aksesori audio nirwayar. Bagi peminat OnePlus, boleh sahaja gunakan aksesori tersendiri mereka jika ingin memanfaatkan ekosistem OnePlus.
Cuma, penggunaan pemebsa suara ini tidak memuaskan hati dan kami dapat rasakan OnePlus bnoleh lakukan lebih baik dari ini.
Bateri
Bateri 4,500mAh yang digunakan dalam OnePlus 8T sebenarnya mengecewakan. Tetapi kami boleh maafkan kerana sistem pengecasan pantas Warp Charge 65W yang disertakan. BUkan sekadar pengecas sudah tersedia di dalam kotak, tetapi dari 0% sehingga 100% hanya sekitar 39 minit sahaja. Ia sungguh pantas dan membuatkan kam teruja. Bukan itu sahaja, pengecasan juga menggunakan USB-C ke USB-C dan turut menyokong pengecasan Power Delivery 27W.
Ketahanan bateri adalah dari 4-5 jam SOT sahaja. Paling lama yang kami capai adalah 5 jam 42 minit dan paling rendah adalah sekitar 4 jam 5 minit. Ini adalah penggunaan biasa sehingga ekstrem dengan 120HZ sentiasa digunakan. Ia bertahan sepanjang hari, cuma apabila ke hujung hari sekitar waktu Maghrib – baki pasti akan menjadi 20% dan ke bawah dan tidak dapat bertahan ke malam.
Telefoni Dan GPS
Panggilan telefon adalah sangat jelass dan tiada masalah. Ia turut menyokong panggilan suara HD VoLTE Maxis. Menggunakan data mudah alih juga baik sekali dari carian isyarat sehingga memuat turun. Ia stabil. Penggunaan GPS juga adalah baik sekali dan cemerlang. Lokasi mudah dikunci, navigasi tiada masalah isyarat semuanya baik sahaja.
Cuma, ada masalah di sensor cahaya. Disebabkan ia terbina di bawah skrin, apabila menjawab panggilan telefon skrin tidak menjadi gelap dan sentiasa menyala. Secara tidak langsung menjadikan peranti mudah memanas ketika menjawab panggilan telefon.
Pesaing
OnePlus 8T | Galaxy S20 FE | Mi 10T Pro |
6.55″ Fluid AMOLED, FHD+, HDR10+, 120Hz | 6.5″ Super AMOLED, 1080 x 2400, 120Hz | 6.67″ IPS LCD, 1080 x 2400, 144Hz |
Snapdragon 865 (7nm) 1 x 2.84 GHz Kryo 585 3 x 2.42 GHz Kryo 585 4 x 1.8 GHz Kryo 585 | Snapdragon 865 (7nm) 1 x 2.84 GHz Kryo 585 3 x 2.42 GHz Kryo 585 4 x 1.8 GHz Kryo 585 | Snapdragon 865 (7nm) 1 x 2.84 GHz Kryo 585 3 x 2.42 GHz Kryo 585 4 x 1.8 GHz Kryo 585 |
Adreno 650 | Adreno 650 | Adreno 650 |
8/12 GB | 8GB | 8GB |
128/256 GB UFS 3.1 | 256GB UFS 3.1 | 256GB UFS 3.1 |
Kamera Utama 48+16+5+2 Megapixel f/1.7+f/2.2+f/2.4+f/2.4 | Kamera Utama 12+8+12 Megapixel (f/1.8+f/2.2+f/2.4) | Kamera Utama 108+13+5 Megapixel f/1.7+f/2.4+f/2.4 |
Kamera Hadapan 16-Megapixel f/2.4 | Kamera Hadapan 32-Megapixel f/2.0 | Kamera Hadapan 20 Megapixel f/2.2 |
Tiada | IP68 | Tiada |
Tiada bicu audio 3.5mm | Tiada bicu audio 3.5mm | Tiada bicu audio 3.5mm |
Audio Stereo Dolby Atmos | Audio Stereo Dolby Atmos | Stereo |
4500 mAh (Berwayar 65W) | 4,500 mAh (Berwayar 25W, Nirwayar 15W) | 5,000 mAh (Berwayar 33W) |
Dari RM2699 | RM3399 | RM1999 |
Kesimpulan
OnePlus 8T adalah permulaan bagi perubahan besar dalam jenama OnePlus. Melalui peranti ini bermulalah lenyap identiti OnePlus yang kita kenal suatu masa dahulu. Ia adalah sebuah peranti yang cuba menjadi peranti mercu mampu milik, tetapi dalam masa yang sama masih cuba jadi peranti yang premium. Peranti ini kami akan sarankan kepada mereka yang sedang menggunakan OnePlus 7 dan ke bawah, barulah ia berbaloi.
Ini adalah tawaran OnePlus untuk sebuah peranti yang seimbang di antara dua darjat. Kelas pertengahan premium dan peranti mercu mampu milik. Ia hadir dengan skrin baik, kamera yang boleh diterima dan pengecasan yang gila pantas. Tetapi ia kini bukan lagi untuk peminat gajet atau yang mengerti teknologi. Sebaliknya disasarkan untuk semua orang.
Bagi mereka yang mencari peranti dengan kemaskini pantas, kamera yang biasa-biasa sahaja, bateri yang ok, prestasi hebat dan rekaan ala jenama lain tetapi harga lebih murah – inilah peranti untuk anda. Pesaing di sini adalah Mi 10T Pro dan S20 FE. OnePlus tanpa segan silu, berada di antara dua peranti ini. Ia cukup bagus, harga cukup murah, tetapi tidak cukup nilai keaslian.
Pro
- Skrin AMOLED 120Hz yang cukup cantik.
- Sistem pengecasan pantas yang gila pantas.
- Kemaskini pantas dan dijamin bertahan lama.
- Android 11 sedia terbina.
- Rekaan skrin rata dan nipis.
- Harga jualan yang tidak begitu mahal.
Kontra
- Kamera masih seakan OnePlus 7T.
- Rekaan yang bosan dan tiada identiti.
- Oxygen OS 11 menggunakan rekaan seakan One UI.
- Bateri tidak tahan lama.
- Pembesar suara stereo tidak begitu enak.