Cari @ Amanz

Telefon pintar dengan kepadatan pixel tertinggi ialah Sony Xperia XZ Premium yang dilengkapi skrin 4K dengan kepadatan skrin 807 ppi. Tetapi skrin ini akan nampak ketinggalan zaman apabila diletakkan bersebelahan skrin yang baru sahaja dibangunkan oleh Samsung Advanced Institute of Technology dan Stanford University.

Skrin OLED ini mempunyai kepadatan pixel 10,000 ppi. Untuk mencapai tahap kepadatan pixel yang tinggi ini, permukaan meta digunakan. Permukaan ini mempunyai ratusan ribu tiang kecil bersaiz mikroskopik dengan jarak antara tiang adalah lebih pendek dari jarak gelombang cahaya. Setiap kluster empat tiang ini hanya setinggi 80 nm dan selebar 100 nanometer sahaja.

Selain memaparkan imej yang lebih tajam, gambar yang lebih terang dan paparan warna yang lebih tepat dapat dinikmati. Teknologi OLED ini menyasarkan penggunaan pada paparan realiti maya dan realiti terimbuh bagu menyelesaikan masalah kesan pintu skrin yang berlaku apabila skrin terletak terlalu hampir dengan mata.

Walaupun kepadatan pixel yang tinggi berjaya dicapai, penyelidik di Samsung Advanced Institute of Technology percaya mereka masih boleh meningkat kepadatan pixel ke 20,000 ppi di masa akan datang.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd