Hisense Hadir Dengan Tiga Televisyen Pintar 4K Untuk Pasaran Tempatan – Harga Bermula RM3999

Hisense Hadir Dengan Tiga Televisyen Pintar 4K Untuk Pasaran Tempatan – Harga Bermula RM3999

Diterbitkan pada Okt 26, 2020 oleh .

Hisense ialah sebuah jenama audio-visual yang dikenali untuk siri televisyen mereka yang boleh dikatakan agak mampu-milik.

Terkini, mereka telah mula menjual tiga buah model televisyen pintar 4K baru untuk pasaran tempatan, termasuklah Hisense 65A7400, Hisense A7500F dan Hisense 100L5F.

Bermula dengan Hisense 65A7400, ia adalah televisyen 4K bersaiz 50/55/65 inci dengan resolusi 4K yang juga tidak mempunyai sebarang bezel. Ia menggunakan panel LED yang menjanjikan kualiti gambar yang cukup ranggi dan berwarna-warni.

Ia dikuasakan oleh sistem operasi Android TV 9 yang membolehkan penonton menggunakan aplikasi-aplikasi Android pada televisyen secara terus seperti YouTube, Netflix dan sebagainya. Dari segi palam input, ia boleh menyambungkan tiga peranti menggunakan palam HDMI dan mempunyai dua palam USB jika diperlukan.

Dari segi sokongan HDR pula, televisyen ini menyokong format HDR10 dan juga HDR Hybrid Log Gamma (HLG), format yang biasa digunakan oleh stesen televisyen untuk penghantaran isyarat melalui ruang udara.

Beralih kepada Hisense A7500F pula, televisyen bersaiz 75 inci ini menggunakan panel LED dengan resolusi 4K dan rekaan nirbingkai yang cukup cantik sekali.

Dari segi teknologi, ia hadir dengan ciri 4K Upscaler yang membolehkannya menaiktarafkan resolusi kandungan dengan resolusi rendah ke tahap 4K, disamping menajamkan gambar supaya ia lebih cantik ditonton.

Jika diperlukan, ia juga hadir dengan sokongan untuk 4 palam HDMI dan dua palam USB.

Ia juga mempunyai aplikasi RemoteNOW yang boleh dimuat-turun untuk membolehkan pengguna mengawal televisyen ini menggunakan peranti pintar mereka.

Hisense Smart Laser TV 100L5F bukanlah sebuah televisyen, sebaliknya sebuah projektor 4K yang mampu menayangkan paparan skrin sebesar 100 inci pada jarak yang dekat.

Berbeza dengan model sebelum ini, televisyen 100L5F ini dikuasakan sistem operasi VIDAA U OS versi 4 yang juga hadir dengan aplikasi-aplikasi yang terpilih.

Walaupun ia sebuah projektor DLP, ia turut hadir dengan sokongan teknologi paparan HDR dan juga menyokong sistem audio Dolby Atmos untuk kualiti menonton dan pendengaran yang tiada tolok bandingannya.

Siri televisyen Hisense ini sudahpun boleh didapati di pasaran tempatan pada tanda-tanda harga berikut:

  • Hisense 65A7400RM3999
  • Hisense A7500FRM7999
  • Hisense Smart Laser TV 100L5FRM29,999


Paling Popular