Perkhidmatan penstriman permainan boleh dikatakan agak padat dengan nama-nama seperti Steam, Google Stadia, Microsoft xCloud, GeForce Now, PlayStation Now dan sebagainya semua sedang cuba untuk mendapatkan seramai pemain yang mungkin.
Terkini, ia telah dilaporkan bahawa Facebook akan memasuki arena penstriman permainan ini dengan memperkenalkan perkhidmatan penstriman mereka sendiri yang akan dimulakan secara kecil-kecilan terlebih dahulu.

Facebook, yang sudahpun ada perkhidmatan menstrim video permainan melalui Facebook Gaming nampaknya akan melanjutkan lagi penawaran tersebut kepada penstriman permainan video.
Kata mereka, perkhidmatan ini pada mulanya akan memfokuskan kepada permainan-permainan kecil seperti Asphalt 9: Legends, PGA TOUR Golf Shootout, Solitaire: Arthur’s Tale and Mobile Legends: Adventure, dan akan dikembangkan secara berperingkat.

Pilihan untuk menstrim permainan-permainan ini dapat dilihat melalui tab Games, dan apa yang menarik mengenai ini ialah pemain boleh menggunakan nama samaran kesukaan mereka, dan menggunakan gambar avatar yang berbeza daripada gambar profil asal mereka.
Buat masa ini, perkhidmatan penstriman ini hanya akan tiba untuk dua platform terlebih dahulu, iaitu web dan juga aplikasi kendiri Facebook Gaming untuk platform Android.
Perkhidmatan penstriman ini juga hanya akan tiba untuk pasaran Amerika Syarikat terlebih dahulu di pasaran-pasaran terpilih seperti California, Texas, New York, Massachussetts dan sebagainya. Buat masa ini ia masih tidak diketahui lagi jika perkhidmatan ini akan dikembangkan ke luar negara tersebut.