Cari @ Amanz

OnePlus hari ini telah memperkenalkan dua lagi telefon pintar baru dibawah siri Nord, iaitu OnePlus Nord N10 5G dan juga OnePlus N100.

Untuk makluman, OnePlus telah memperkenalkan siri Nord sebelum ini, memfokuskan kepada penawaran spesifikasi pertengahan, dan pada harga lebih rendah berbanding peranti mercu mereka – disamping mengekalkan beberapa elemen utama OnePlus.

OnePlus Nord N10 5G hadir dengan skrin 6.49-inci HD penuh dengan kadar segar semula 90Hz, dijana cip Snapdragon 690, memori 6GB RAM, dan storan 128GB. Ia turut menyertakan empat-kamera belakang dengan sensor utama 64-megapixel, selain bateri berkapasiti 4300mAh dengan sokongan pengecasan pantas WarpCharge 30T. Dengan spesifikasi pertengahan, ia masih menyertakan sokongan rangkaian 5G, selain pengimbas cap jari pada bahagian belakang peranti.

Disamping itu, OnePlus N100 pula menawarkan harga yang lebih kompetitif. Ia hadir dengan skrin 6.52-inci, dilengkapi cip Snapdragon 460, memori 4GB RAM dan storan 64GB. Dengan spesifikasi rendah ini, ia memfokuskan kepada ciri bateri, dan menyertakan bateri 5000mAh.

OnePlus N100 turut dilengkapi tri-kamera belakang dengan sensor utama 13-megapixel.

Dengan kedua-dua peranti ini, OnePlus dilihat turut menyertai arena peranti berspesifikasi rendah-pertengahan, dan mungkin akan bersaing dengan pengeluar peranti lain pada segmen pasaran sama.

Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bilakah kedua-duanya akan hadir ke pasaran tempatan.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd