Cari @ Amanz

LG Tone Free adalah TWS terbaru dari LG. Ia hadir dengan beberapa variasi seperti HBS-FN4 yang asas, HBS-FN6 dengan pensteril UV terbina atau HBS-FN7 yang baru sahaja dilancarkan dengan sokongan pembatalan hingar aktif. Di makmal Amanz, kami menerima LG Tone Free HBS-FN6 dan telah menggunakan TWS ini sebagai aksesori audio harian untuk beberapa minggu.

Jujur kami katakan, ianya unik. Dengan isu Covid-19 yang masih berleluasa, yang mana kita semua perlu kerap basuh tangan, jaga jarak, membasmi kuman pada peranti dan sebagainya – TWS ini hadir pada masa yang sesuai. Tetapi, kalau setatak membasmi kuman sahaja kualiti audio teruk tiada gunanya. Kami mendapati yang kualiti audionya baik sahaja dan untuk ketahui lebih lanjut, ini adalah artikel ulasan kami.


Spesifikasi Dan Rekaan

LG Tone Free HBS-FN6
JenisDalam Telinga/TWS
MikrofonDwi-mikrofon
Bateri55 mAh pada fon telinga
390 mAh pada pod pengecas
PengecasanUSB-C/Qi
Cip AudioTidak Diberitahu
CODECSBC, AAC
Sokongan AplikasiAndroid/iOS
Sokongan pembantu mayaMengikut peranti
Pad sesentuhYa
Kemampuan kalis airIPX4
Harga Jualan RM 699

Dengan banyak jenis set fon telinga nirwayar sebenar tiba ke pasaran tempatan, semuanya menggunakan rekaan yang begitu klise – iaitu mengikut AirPods atau AirPods Pro. Tetapi apa yang LG tawarkan adalah sesuatu yang berbeza. Ia menggunakan rekaan yang lain dan ada nilai keaslian tersendiri mereka. Kita lihat pada pod pengecasan terlebih dahulu. Ia menggunakan bentuk bulat, bersaiz kecil dan kompak serta mempunyai kemasan pusam yang mudah dipegang dan tidak menangkap kotoran cap jari.

Rekaan yang ringkas, ada tulisan “Tone” di atas, ada USB-C di belakang untuk tujuan pengecasan, lampu LED di hadapan untuk status bateri atau tambatan serta takut kecil di hadapan untuk mudah pod pengecsan ini dibuka. Sebaik sahaja ia dibuka, dalamannya jelas kelihatan logo LG dan ruang menyimpan yang ada pin bermagnet serta lampu untuk membasmi kuman.

Rekaan fon telinga juga kelihatan menarik. Tidak dinafikan ada sedikit iras dengan AirPods. Tetapi ia lebih kemas, lebih cantik dan sedap mata memandang. Di bahagian muncung fon telinga, ia sedikit tajam tetapi silikonnya adalah jenis bahan gred perubatan. Pada tangkai pula ada sokongan kawalan sentuhan. Digabungkan kedua-duanya sekali, ia adalah rekaan yang menarik dilihat. Tidak segar, tetapi rasa lain.

Kualiti Audio

LG Tone Free HBS-FN6 mempunyai kuali audio yang enak. Kebanyakan muzik yang didengari melalui TWS ini sungguh menenangkan hati, rasa nyaman, selesa dan tidak rasa bosan. Tetapi, ia terhad. Kualiti nada TWS ini memfokuskan kepada mids dan high sahaja. Ini menjadikan muzik yang memfokuskan kepada vokal dan nada tinggi amat enak untuk didengari dengan TWS ini. Vokal, tidak kira penyanyi wanita atau lelaki akan rasa enak dan tepat. Lagi-lagi apabila mereka menyanyi dengan nada yang tinggi, perasaan memuaskan itu terus terasa.

Pementasan audio (soundstage) pula tidak begitu luas. Penggunaan instrumen walaupun jelas boleh didengari, tetapi disebabkan ia dioptimasikan dengan teknologi Meridian ini – muzik seakan dimainkan menggunakan instrumen buatan. Pengasingan antara setiap instrumen itu baik sahaja, cuma ia tidak begitu benar. Ia tidak realitisik tetapi masih rasa enak.

Bass bukanlah kekuatan pada LG Tone Free ini. Ia adalah bahagian yang paling lemah sekali. TWS ini lebih sesuai digunakan untuk mendengar muzik-muzik pop sahaja. Tambahan lagi mengenai vokal, yang mana ini adalah bergantung kepada tetapan EQ yang telah dilakukan. Kadangkala, vokal juga boleh terasa tidak begitu tepat. Tetapan Natural adalah sesuai untuk beberapa lagu, ada pula yang sesuai dengan tetapan Treble Boost. Tetapi untuk pilihan yang lebih selamat dan tidak memeningkan kepala, pilih sahaja Immersive.

Nada tinggi seperti yang kami katakan tadi merupakan salah satu kebaikan yang ada pada TWS ini. Tetapi ia bukannya yang terbaik dan paling enak. Ia sekadar mempunyai pengalaman pendengaran yang ok sahaja. Kami tidak dapat bezakan high antara instrumen yang berlainan dan semuanya kedengaran seakan sama sahaja.

Tiada sokongan pembatalan hingar aktif, kerana HBS-FN6 hanya menyokong yang pasif sahaja. Ia agak baik, pengguna akan rasa fokus dengan audio yang didengari. Tidak akan ada gangguan yang jelas. Mod Ambient Sound walau bagaimanapun adalah kekuatan yang ada pada TWS ini. Mikrofonnya benar-benar hebat dan boleh menangkap audio dari jarak jauh. Ini menjadikan kualiti panggilan telefon juga baik sekali.

Kawalan Dan Fungsi Pintar

Kawalan pada TWS ini adalah yang asas, iaitu sentuhan. Tekan sekali untuk jeda/main muzik atau menjawab panggilan telefon, tekan dua kali untuk kawalan aras suara atau mematikan panggilan telefon, tekan tiga kali untuk memainkan muzik seterusnya dan tekan beberapa saat untuk mengaktifkan mod ambien.

Kawalan sentuhan ini baik sahaja dan tiada masalah langsung. Ia mempunyai responsif dan pantas. Kawalan ini turut boleh diubah atau dikunci.

LG Tone Fre ini turut boleh dikawal dengan aplikasi mereka tersendiri iaitu LG Tone Free. Aplikasi ini adalah tempat di mana pengguna boleh mengemaskini perisian, kawalan EQ serta kawalan sentuhan. Ia turut boleh mengaktifkan pemberitahuan notifikasi, jika anda inginkan suara wanita robot membaca mesej dan notifikasi anda.

Bateri

Bateri pada Tone Free ini bukanlah yang kami gemar. Ia biasa sahaja dan adalah standard untuk TWS dalam kelas seperti ini. Ia boleh mencapai sehingga enam jam menurut promosi LG, tetapi penggunaan kami adalah sekitar 5 jam lebih untuk penggunaan secara berterusan. Ini bermakna, disekalikan dengan pod pengecasan tiada masalah untuk mencapai penggunaan sehingga 18 jam.

Masa pengecasan juga adalah pantas dengan sokongan USB-C dan turut menyokong pengecasan nirwayar.

Konklusi

LG Tone Free HBS-FN6 secara keseluruhan adalah TWS yang baik sekali. Pengalaman pendengaran adalah baik-baik sahaja dan tidak akan ada masalah bingit, atau telinga yang rasa penat. Kualiti nada yang mudah untuk didengari dan sedap pada lagu-lagu pop akan membuatkan TWS ini menjadi pilihan kepada mereka yang tidak menggemari bass. Cuma harapnya, LG boleh mengemaskini fungsi EQ mereka agar tidak terlampau rasa tipu dan boleh dekat lagi dengan instrumen sebenar.

Tetapi harga jualan RM699 sebenarnya adalah sedikit mahal. HBS-FN6 hanya mempunyai pembasmi kuman terbina sahaja berbanding HBS-FN4. Jika apa yang anda cari adalah TWS dengan kualiti audio yang baik dan gemarkan penalaan dari Meridian, dapatkan sahaja Tone Free versi asas. Kita tidak tahu sama ada RM200 tambahan pada versi UV ini benar-benar membasmi kuman ataupun tidak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd