Perjalanan Ke Marikh Bakal Memakan Masa Tiga Bulan Sahaja Menggunakan Enjin Nuklear

Perjalanan Ke Marikh Bakal Memakan Masa Tiga Bulan Sahaja Menggunakan Enjin Nuklear

Diterbitkan pada Okt 27, 2020 oleh .

Selepas kembali ke bulan pada tahun 2024, langkah seterusnya yang akan diambil oleh NASA ialah menghantar manusia pertama ke permukaan planet Marikh. Pelbagai cabaran teknologi perlu diharungi bagi menjadikan fiksyen sains realiti. Antara cabaran terbesar ialah sistem roket yang akan digunakan. Kerana halangan teknologi, sistem hiper angkasa dan pemanduan Warp masih belum menjadi realiti. Jalan terbaik yang bakal diambil ialah menggunakan roket bertenaga nuklear.

Enjin NTP oleh USNC-Tech

Sebuah konsep enjin telahpun diserahkan oleh Ultra Safe Nuclear Technologies (USNC-Tech) kepada NASA. Ia adalah dari jenis pendorong termal nuklear (NTP) yang menggunakan tenaga nuklear untuk menghasilkan haba yang kemudiannya membakar bahan api yang dibawa. Sistem yang dibangunkan USNC-Tech menawarkan impuls spesifik dua kali ganda lebih baik berbanding sistem roket kimia. Impuls spesifik ialah ukuran yang digunakan untuk mengira tahap kecekapan sesebuah enjin roket.

Dengan kata lain, enjin NTP UYSN-Tech menggunakan bahan api secara lebih efisien. Hasilnya untuk jumlah bahan api yang sama, lebih banyak tujahan dihasilkan sekaligus memendekkan perjalanan ke Marikh ke tiga bulan berbanding tujuh bulan menggunakan enjin roket kimia.

Bahan api yang digunakan ialah Fully Ceramic Micro-encapsulated (FCM) yang dihasilkan dari High-Assay Low Enriched Uranium (HALEU). Bahan api uranium diperkaya ke 5-20% berbanding yang digunakan pada loji tenaga nuklear komersial. Ini membolehkan pengeluaran bahan api FCM dihasilkan pada skala yang besar kerana menggunakan teknologi sedia ada.

FCM boleh beroperasi pada suhu yang tinggi dengan selamat. Ini adalah penting bagi memastikan krew misi ke Marikh kelak tidak terdedah kepada bahaya radiasi dan kerosakan pada sistem roket yang tidak dapat dibaiki dengan mudah.

Enjin ini akan diuji kebolehgunaannya di dunia sebenar oleh Analytical Mechanics Associates (AMA). Konsep enjin NTP bukanlah baru dengan ujian telah dilakukan seawal 1955. Ia tidak digunakan sehingga sekarang kerana faktor keselamatan dan kos yang tinggi.



Paling Popular