Ulasan : Huawei Matebook 14

Ulasan : Huawei Matebook 14

Diterbitkan pada Nov 2, 2020 oleh .

Huawei Matebook adalah siri komputer riba dari Huawei yang menawarkan spesifikasi hebat pada harga yang menarik. Terdapat banyak variasi dari siri D yang paling murah sehinggalah siri Pro X yang paling berkuasa. Setakat ini setiap tahun Huawei dilihat akan hadir dengan komputer riba baharu dan tidak seperti jenama Xiaomi atau syarikat China lain yang jualan terhad – Huawei menjual komputer riba ini di peringkat global.

Matebook 14 edisi 2020 adalah antara yang terbaru. Ia dijana dengan cip Ryzen terkini untuk komputer riba sambil mengekalkan rekaan dan bahan binaan premium. Cuma, sehebat manakah komputer riba ini dan adakah ia berbaloi untuk dimiliki?


Spesifikasi & Rekaan

Huawei Matebook 14 2020
Skrin14″ 2160 x 1440, 2K, 3:2
TÜV Rheinland
IPS, LCD, bezel nipis
PemprosesAMD Ryzen 5 4600H atau
AMB Ryzen 7 4800H
GrafikRadeon Graphics
RAM16 Gigabyte DDR4
Muatan Dalaman512 GB NVMe SSD
KameraTersorok Pada Papan Kekunci
720p
I/O1x USB-C
1x USB-A 3.0
1x USB-A 2.0
1x HDMI
1x port bicu audio 3.5mm
HDMIAda
Pembaca KadTiada
SekuritiPengimbas Cap Jari
SIMTiada
Bateri56Wh
Pengecas pantas 65W USB-C
Harga JualanRM2,499

Matebook 14 tahun 2020 sekali lagi menggunakan rekaan yang sekali imbas, mirip MacBook. Tetapi, sudah tentu Huawei akan memfokuskan kepada bahagian tertentu dengan rekaan mereka yang tersendiri. Pertama adalah pada sisi komputer riba, ia mempunyai kemasan serongan (chamfered) yang berkilat dan menjadikan produk ini kelihatan seperti sebuah komputer riba yang premium. Panel belakang skrin dilihat tiada perkara menarik selain logo Huawei yang besar. Binaan skrin juga kukuh tetapi sayangnya ia tidak boleh dibuka dengan satu tangan.

Sisi sedikit serong dari tebal ke nipis dengan beberapa port sambungan. Hanya satu USB-C dan dua USB-A, satu port bicu audio 3.5mm, HDMI dan lampu LED untuk pengecasan. Di bahagian engsel biasa sahaja, tetapi pad sesentuh adalah cukup besar dan mudah digunakan. Ia cukup sensitif, tiada masalah untuk menggunakan kawalan gestur Windows.

Susun atur setiap kekunci pada papan kekunci juga baik-baik sahaja. Ia besar, ada lampu backlight yang malap serta mempunyai butang kuasa yang turut berfungsi sebagai pengimbas cap jari. Di bawah komputer riba terdapat kekisi untuk pembesar suara dan juga ruangan untuk pengaliran haba.

Pengalaman Penggunaan

Skrin Matebook 14 adalah cukup luas, cantik, terang, warna yang tajam dan memberikan pengalaman penggunaan yang imersif. Menonton video adalah perkara yang memuaskan, seperti menikmati filem di Netflix. Walaupun nisbah skrin adalah 3:2 dan akan ada bar hitam mengganggu ketika menonton video, warna hitam itu cukup gelap dan tidak menjengkelkan. Kecerahan dan warna adalah yang paling kami gemari. Walaupun di bawah cahaya matahari yang terik, skrin masih mampu memaparkan kandungan dengan baik dan terang.

Skrin pula adalah jenis sesentuh, tetapi pada hemat kami rekaan komputer riba seperti ini tidak patut ada sokongan sentuhan. Ia hanya menambahkan kos. Sepanjang penggunaan beberapa minggu, hanya 2-3 kali sahaja kami menyentuh skrin.

Prestasi komputer riba ini di atas kertas adalah sangat hebat. Ada pilihan Ryzen 5 atau 7 dalam siri 4000. Unit kami ini adalah Ryzen 7 4800H dan dipadankan dengan memori 16GB RAM serta storan dalaman SSD 512GB. Cip grafik pula adalah Radeon. Penggunaan secara asas adalah yang paling seronok dan sangat berpuas hati.

Buka sahaja sekitar 5-6 tab di pelayar web, mainkan muzik di Spotify dan mulakan kerja. Penggunaan ringkas ini cukup hebat dan langsung tiada masalah. Malah, kami turut jadikan Matebook 14 sebagai komputer riba hiburan kami.

Tetapi, sebaik sahaja kerja mula dilakukan dan kerja ini hanya ringkas sahaja – prestasi dilihat agak kurang konsisten. Kadangkala dengan tugasan yang sama ia lancar dan kadangkala ia teruk. Lagi-lagi apabila ada dua pelayar web dibuka dengan jumlah sekitar 6-10 tab berserta Photoshop, Photoscape dan pemindahan fail dilakukan – lengah masa kerap berlaku.

Menyunting video adalah baik sahaja. Ada berlaku lengah masa sebentar, tetapi masa render video adalah pantas.

Di atas kertas, Ryzen 7 4800H berkuasa. Tetapi rekaan Matebook 14 ini tidak mengizinkan. Ryzen 7 4800H, atau cip pemprosesan siri H mempunyai tahap haba yang tinggi dan memerlukan sistem penyejukan yang lebih bagus untuk ia beroperasi secara optimum. Tetapi komputer riba ini adalah jenis Ultrabook dengan rekaan nipis, jadi sistem penyejukan tidak dapat mengendali kuasa cip siri H ini.

Penanda Aras

Penanda aras yang kami lakukan pada komputer riba ini adalah CrystalDiskMark untuk ujian SSD. Matebook 14 mempunyai kadar baca dan tulis yang baik. Ia memperoleh 3413.30 MB/s untuk baca dan 1106.72 MB/s untuk menulis. Ini adalah prestasi yang baik sekali dan boleh sahaja mengendalikan tugasan pemindahan data dengan mudah.

Untuk prestasi GPU yang mana diuji menggunakan 3DMark Time Spy dan Time Spy Extreme – skor adalah 1061 dan 483. Ia adalah skor GPU yang dijangka untuk komputer riba yang dikhususkan untuk kegunaan pejabat atau produktiviti. Skor untuk penggunaan CPU pula menggunakan PCMark 10 yang mana juga mempunyai dua jenis iaitu biasa dan Extended. Skor yang diperoleh adalah 4869 dan 4044. Ia adalah skor yang cukup tinggi dalam komputer riba kelasnya.

Papan Kekunci

Papan kekunci pada hemat kami, siri Pro X adalah terbaik di antara semua komputer riba Huawei. Pada Matebook 14, ia terlampau mencuba mengikut gaya papan kekunci MacBook jenis kupu-kupu. Papan kekuncinya kurang enak untuk ditaip. Ia seakan menekan span.

Menaip dengan tenang dan tidak begitu laju adalah baik sahaja. Seperti sekadar mencatat nota, membuat draf ringkas atau sekadar suntingan dokumen yang pendek – papan kekunci ini baik sahaja. Tetapi untuk kerja kami yang banyak menulis artikel, ia bukannya papan kekunci yang terbaik.

Kamera

Di musim Covid-19 ini, penggunaan panggilan video menjadi penting. Seperti biasa, komputer riba Huawei menggunakan kamera web yang tersorok dalam papan kekunci di antara kekunci-kekunci fungsi. Tekan sekali untuk ia pop naik dan tekan semula untuk sorok. Resolusi hanyalah 720p – seperti kebanyakkan komputer lain dipasaran.

Pembesar Suara

Huawei Matebook 14 menggunakan pembesar suara stereo yang mana kedua-duanya berada di bawah komputer riba. Aras suara adalah biasa-biasa sahaja, dan tidak begitu kuat.

Huawei telah bekerjasama dengan Nahimic yang membawakan sistem pengoptimasian pemebsar suara secara digital. Sistem Nahimic ini sedia terbina dalam komputer riba ini dan ia mempunyai banyak mod dengan fokus tersendiri. Seperti muzik lain profilnya, filem lain, permainan lain dan komunikasi juga lain. Sedang kami mendengar muzik di Spotify dan terus mengaktifkan mod muzik pada Nahimic, ia terus menjadi enak dan memberikan pengalaman pendengaran berkali ganda lebih baik dari sedia ada.

Perisian ini turut membolehkan pembesar suara menjadi lebih imersif. Perisian ini tidak dinafikan baik sekali.

Sekuriti

Seperti kebanyakan komputer riba lain, Huawei turut menggunakan Windows Hello untuk sekuriti tambahan. Sistem sekuriti yang digunakan adalah jenis pengimbas cap jari yang terus terbina pada butang kuasa. Pengimbas jari ini adalah baik sekali, tidak kira jika jari berpeluh pun ia masih boleh mengimbas jari pengguna. Prosesnya juga pantas dan seakan sekelip mata.

Bateri

Seperti yang dikatakan tadi, disebabkan Matebook 14 dijana dengan cip pemproses AMD Ryzen 7 4800H, penggunaannya menjadi terhad kerana pengaliran haba yang tidak begitu efisien.

Daripada percubaan kami sendiri, dengan sekali pengecasan penuh, ia menawarkan masa penggunaan sekitar 3-4 jam lamanya. Pengguna juga boleh mengecas penuh komputer riba ini dengan pantas melalui pengecas yang hadir bersama-sama dengannya.

Pengecas yang disediakan adalah USB-C 65W yang mana cukup berkuasa dan turut boleh mengecas telefon pintar Huawei lain.

Kesimpulan

Huawei Matebook 14 adalah komputer riba yang terlampau hebat sehinggakan ia sendiri tidak mampu menampung kehebatannya. Mereka salah memilih cip pemprosesan yang mana menjadikan pemilihan cip ini adalah sia-sia. Disebabkan itu, prestasi sedikit terjejas dan bateri tidak tahan lama.

Matebook 14 ini adalah komputer riba yang hebat, tetapi terhad. Fokus komputer riba Huawei siri Matebook ini adalah untuk produktiviti, yang mana menyasarkan pekerja pejabat dan juga para pelajar. Harga adalah bermula dari RM3,799 dan mencapai RM4,399.

Pro

  • Skrin yang cantik, cerah, luas dan memuaskan
  • Perisian pembesar suara yang menjadikan pengalaman pendengaran enak
  • Sokongan pengecasan pantas yang hebat
  • Pad sesentuh yang responsif
  • Rekaan yang nipis dan tampak premium
  • Kamera tersorok yang menjamin privasi

Kontra

  • Papan kekunci yang kurang selesa
  • Bateri dengan ketahanan kurang 4 jam

TIPS & ULASAN